PARAGLIDING antara sukan lasak udara boleh dilakukan di Kuala Kubu Bharu.
PARAGLIDING antara sukan lasak udara boleh dilakukan di Kuala Kubu Bharu.
Nurul Husna Mahmud


Tidak ramai mengetahui reputasi bandar kecil seperti Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah bandar hijau pertama di Malaysia.

Status itu tidak dapat dinafikan kerana bandar itu masih memiliki kawasan hijau selain beberapa tarikan semula jadi yang boleh dinikmati pengunjung.

Uniknya bagi destinasi aktiviti luar dan lasak, Kuala Kubu Bharu adalah 'syurga' bagi penggiat aktiviti itu.

Malah, tiga elemen dalam sukan lasak iaitu aktiviti luar di udara, di air dan di darat boleh dilakukan di sekitar bandar itu.

Tidak hairan lokasi itu menarik lebih 500 penggiat tegar aktiviti lasak 'berkampung' di kawasan itu bagi menyertai Malaysia Adventure Festival 2023 atau KKB Madfest 2023.

Peserta dari Tanjung Malim, Perak, Norafidah Adanan, 46, berkata, dia selalunya hadir ke Kuala Kubu Bharu untuk mendaki Bukit Pahat.

Tetapi, berlainan dengan penyertaan dalam KKB Madfest 2023 apabila dia mencabar diri julung kali menyertai aktiviti berakit meredah jeram atau 'white water rafting' bersama suami, Zuraidy Shamsudin, 47, dan tiga anaknya.

"Kebetulan anak sulung bercuti semester, saya ambil peluang sertai aktiviti berakit meredah jeram bersama keluarga.

"Dalam hati rasa gerun juga maklumlah pernah tengok di kaca televisyen betapa ekstrem aktiviti ini.

"Babak peserta jatuh sungai dengan arus deras dan batu sungai lagi waktu bot getah digunakan dalam aktiviti ini terbalik, memang berderau juga darah.

NORAFIDAH (kiri) mencuba aktiviti berakit meredah jeram bersama keluarga.
NORAFIDAH (kiri) mencuba aktiviti berakit meredah jeram bersama keluarga.

"Tetapi, apabila sudah melakukannya rasa 'gian' pula untuk mencuba lagi aktiviti ini di sungai lain," katanya.

Kata Norafidah, penganjuran festival lasak itu satu pendedahan baik kepada peminat sukan lasak mencuba aktiviti baharu.

"Kuala Kubu Bharu tidak jauh dari lokasi saya dan keluarga tinggal. Namun, saya tidak berpeluang untuk teroka aktiviti lain termasuk tasik.

"Saya berharap festival ini dapat dianjurkan lebih kerap supaya peminat sukan lasak boleh mencuba sukan lasak lain seperti paragliding atau 'stand up paddle boat'," katanya.

Bagi pengunjung dari Siberia, Rusia, Aleksandr Riabo, 27, dia teruja dengan pengalaman bermalam di Kuala Kubu Bharu yang dikelilingi hutan dan alam semula jadi.

"Memang padat termasuk aktiviti di tasik dan berakit arus deras. Di darat pula saya mengendalikan kenderaan serba rupa bumi (ATV).

"Sedikit aduan iaitu tempoh ATV selama 20 minit terlalu pendek bagi saya sukakan aktiviti itu.

ATV antara aktiviti menarik.
ATV antara aktiviti menarik.

"Saya juga merasai pengalaman bagaimana orang tempatan melakukan aktiviti luar seperti berkhemah," katanya.

Sementara itu, pengarah program itu, Hasrol Kamis menyifatkan Kuala Kubu Bharu adalah lokasi ideal untuk hub sukan lasak tempatan kerana tiga elemen sukan itu berada di kawasan terbabit.

"Pengamatan saya selaku operator sudah berpengalaman dalam sukan lasak sepanjang 20 tahun, Kuala Kubu Bharu satu-satunya lokasi yang saya temui memiliki tiga sukan lasak dalam satu tempat.

"Saya berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan 20 operator termasuk operator tempatan yang bekerjasama dalam menjayakan aktiviti ini.

"Penting juga untuk mengumpulkan semua penggiat sukan lasak dalam satu acara bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelancongan sukan lasak di Malaysia," katanya.

AKTIVITI tali kanak-kanak.
AKTIVITI tali kanak-kanak.

Atas kesedaran itu juga pihaknya menganjurkan forum khas iaitu 'Impact of Adventure Travel to the Tourism Industry of Malaysia' membabitkan Persatuan Penganjur-penganjur Aktiviti Lasak Malaysia, Persatuan Malim Gunung Malaysia, Persatuan Rafting Malaysia dan sebuah syarikat pelancongan tempatan.

"Saya berharap penganjuran acara ini dapat merancakkan lagi industri pelancongan negara. Dalam acara ini turut disertai pelancong dari 12 negara, antaranya Amerika Syarikat, Ghana, China, Rusia dan banyak lagi," katanya.

Selain aktiviti lasak, ada juga aktiviti santai iaitu berkelah bersama keluarga dan jualan makanan membabitkan komuniti setempat.

PERTUNJUKAN bermain api untuk pengisian aktiviti malam.
PERTUNJUKAN bermain api untuk pengisian aktiviti malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 7:00 AM