Hafiz Ithnin

Kekayaan Malaysia dalam ekosistem hutan sukar dinafikan, terutama keindahan air terjun dan sungai yang cukup menarik untuk dinikmati pelancong atau penggemar sukan rekreasi.

Melihat kepada kepelbagaian keadaan air terjun dan sungai yang masih ‘dara’ itu, penggiat aktiviti rekreasi di Malaysia begitu kreatif melakukan aktiviti air.

Antara yang pernah dipaparkan dalam ruangan Nuansa sebelum ini ialah berkaitan aktiviti tali tinggi. Pada masa sama, terdapat satu lagi aktiviti rekreasi di kawasan sungai atau jeram yang cukup popular dalam kalangan peminatnya iaitu berkayak tiub atau ‘tubing.’

Aktiviti berkayak tiub biasanya dilakukan di kawasan jeram yang tidak begitu dalam, mungkin sekitar 1.2 meter kerana ia lebih bersifat santai namun masih ada cabaran tersendiri.

Biasanya aktiviti itu dilakukan operator yang berpengalaman memandangkan ia memerlukan kelengkapan tertentu, terutama bagi memastikan adanya jaminan keselamatan.

Sudah tentu perkara paling mustahak ialah tiub kerana ia menjadi platform atau ‘kenderaan’ utama. Tiub digunakan mempunyai saiz tayar lori kerana ia cukup besar bagi memuatkan saiz yang penggunanya.

TIUB saiz tayar lori digunakan cukup besar bagi memuatkan saiz yang penggunanya.
TIUB saiz tayar lori digunakan cukup besar bagi memuatkan saiz yang penggunanya.

Tambahan pula, tiub jenis itu lebih tahan lasak sekiranya terkena bucu batu di sungai, ranting atau dahan yang terdapat di kawasan jeram. Bagaimanapun, risiko untuk ia bocor tetap ada.

Memandangkan arus sungai sukar untuk ditentukan, terdapat halangan seperti batu besar atau benda asing yang menyebabkan pendayung diperlukan untuk memudahkan individu mengawal pergerakan tiub.

Dari segi keselamatan, setiap individu yang melakukan aktiviti ini perlu memakai kelengkapan keselamatan iaitu topi keledar untuk rekreasi yang lebih tahan lasak.

Penggunaan topi keledar ini penting kerana kadangkala ketika tiub dihanyutkan, kemungkinan besar ia berpusing apabila melalui kawasan jeram yang lebih tinggi dan biasanya terdapat batu di kawasan berkenaan.

SITUASI mengendalikan pendayung ketika melalui arus deras.
SITUASI mengendalikan pendayung ketika melalui arus deras.

Sekiranya tiub terbalik, sekurang-kurangnya kepala pemain dapat dilindungi dan tidak terhentak pada kawasan laluan yang terdapat batu atau dahan pokok.

Pada masa sama, setiap pemain perlu memakai jaket apungan keselamatan yang sudah diperiksa tahap kemampuan apungannya oleh operator kerana jaket keselamatan juga mempunyai tarikh luput dan ia bergantung kepada jumlah penggunaan.

Meskipun, ia dilakukan di kawasan air cetek, jika seseorang itu panik apabila tiub terbalik atau bocor, insiden kemalangan seperti lemas juga boleh berlaku. Tanpa mengira pemain boleh berenang atau sebaliknya, pemakaian jaket keselamatan adalah sangat penting.

Memandangkan, tiub bergerak mengikut arus sungai, biasanya pihak operator akan menyediakan seorang kru keselamatan yang berada di kawasan penamat bagi memastikan pemain tidak terus hanyut di kawasan tidak sepatutnya.

 MENGAWAL rasa panik penting ketika berkayak tiub.
MENGAWAL rasa panik penting ketika berkayak tiub.

Penulis difahamkan sebelum melakukan aktiviti ini, pihak operator perlu memberi taklimat keselamatan dari segi penggunaan peranti keselamatan dan cara untuk mengendalikan tiub supaya tidak terbalik.

Kru yang mengiringi pemain kayak tiub sangat penting kerana mereka dapat membantu dalam memastikan lokasi laluan air itu selamat atau tidak untuk digunakan pemain.

Paling utama, kru juga boleh memaklumkan kepada pemain sama ada aktiviti itu boleh diteruskan atau sebaliknya jika terdapat petanda bakal berlaku kepala air terutama ketika hujan.

Harga untuk melakukan aktiviti berkayak tiub ini biasanya ditawarkan bermula RM30 dan jarak laluannya juga bermula sekitar 500 meter serta bergantung kepada persekitaran semasa.

MENGIMBANGI badan dapat mengendalikan tiub dengan lebih mudah.
MENGIMBANGI badan dapat mengendalikan tiub dengan lebih mudah.

Menariknya, setiap pemain bukan hanya perlu duduk di dalam tiub dengan santai tapi perlu bijak mengawal pergerakan tiub itu supaya tidak terbalik atau melalui kawasan yang menyebabkannya tersangkut.

Di Malaysia, terdapat banyak lokasi yang sesuai untuk melakukan aktiviti berkayak tiub terutama di kawasan yang bukan menjadi tumpuan perkelahan keluarga kerana ia lebih ‘segar’ dengan keindahan sungai dan panorama hijau.

Lokasi jeram popular di Malaysia untuk berkayak tiub:

1. Sungai Bernam, Tanjung Malim, Perak

2. Sungai Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan

3. Sungai Sedim, Kulim, Kedah

4. Sungai Kampar, Gopeng, Perak

5. Sungai Itek, Gopeng, Perak

BERKAYAK tiub seronok jika dilakukan bersama rakan-rakan.
BERKAYAK tiub seronok jika dilakukan bersama rakan-rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 10:51 AM