Hafiz Ithnin

“Jump! Jump!”. Lantang sekali suara ketua penunjuk arah kepada pemain apabila bot getah tersangkut di celah batu besar. Bukan sekadar perlu mengikuti arahan itu, malah perlu seiring dengan pergerakan menghenjut-henjutkan badan di tempat duduk sambil memegang tali di tepi bot.

Walaupun kadangkala terasa penat perlu melakukan aksi tertentu untuk meneruskan perjalanan menuju ke ‘garisan penamat’ yang masih jauh, arahan berserta pergerakan itu sememangnya menghiburkan dan lucu.

Itulah antara situasi ketika berakit redah jeram atau kayak arus deras (white water rafting) sememangnya menjanjikan pengalaman mengharungi laluan sungai yang begitu mencabar.

Biarpun dipanggil rakit, ‘kenderaan’ sebenar yang digunakan untuk aktiviti ini adalah bot getah yang agak besar dan mampu memuatkan antara empat hingga enam peserta.

PERALATAN kayak arus deras.
PERALATAN kayak arus deras.

Bagi aktiviti ini, biasanya kumpulan peserta perlu berakit sejauh antara tujuh hingga lapan kilometer (km), bergantung kepada tahap keselamatan semasa dan operator yang menyediakan perkhidmatan boleh menghentikan ‘perjalanan’ pada bila-bila masa sekiranya hujan lebat.

Kederasan arus dan paras air memainkan peranan penting bagi membolehkan aktiviti kayak arus deras dijalankan. Ada empat paras air yang sesuai iaitu paras air pertama terdapatnya ombak kecil memudahkan untuk mengemudi bot dan alur sungai boleh dilihat dengan jelas.

Paras kedua, cabaran laluan jeram sederhana dan alur sungai boleh dilihat dengan jelas. Namun, tetap memerlukan pengalaman untuk mengemudi dengan baik daripada semua peserta.

BOT getah yang mampu memuatkan antara empat hingga enam pemain.
BOT getah yang mampu memuatkan antara empat hingga enam pemain.

Paras air ketiga pula agak sukar kerana terdapat ombak beralun tinggi, berbatu-batu, banyak pusaran air dan lintasan jeram sempit. Untuk mengharunginya memerlukan kerjasama yang baik daripada semua peserta bagi mengawal keseimbangan bot.

Terakhir, paras keempat pula lebih sukar dengan aliran sungai berjeram panjang dan berturut-turut serta mempunyai ombak kuat, laluan tidak teratur, banyak batuan yang membahayakan serta pusaran air yang berbuih-buih. Di peringkat ini, skil dayungan dan kawalan bot yang tinggi amat diperlukan.

Sekiranya anda berpeluang mengikuti aktiviti kayak atau rakit arus deras, biasanya penunjuk arah memberitahu keadaan paras air bagi membolehkan semua peserta bersedia mengharungi cabaran semasa berakit.

PERLU mempunyai skil untuk mengendalikan bot getah apabila terbalik.
PERLU mempunyai skil untuk mengendalikan bot getah apabila terbalik.

Seperti biasa, untuk semua aktiviti air, isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan dan semua peserta termasuk penunjuk arah perlu memakai jaket keselamatan serta topi keledar sepanjang perjalanan mengharung arus.

Bagi aktiviti berakit arus deras, jaket keselamatan diperlukan kerana kebarangkalian untuk jatuh ketika berakit sangat tinggi dan sekiranya perkara itu berlaku, peserta hanya perlu terlentang dan menggerakkan kaki untuk sampai ke tebing.

Peserta juga tidak perlu panik sekiranya tidak mampu bergerak ke arah tebing kerana biasanya ada kru yang berkayak dan menjaga laluan di hadapan untuk membantu apabila berlaku kecemasan.

 BERADA dalam keadaan telentang adalah teknik sekiranya terjatuh di dalam air.
BERADA dalam keadaan telentang adalah teknik sekiranya terjatuh di dalam air.

Manakala, topi keledar untuk aktiviti rekreasi mestilah dalam keadaan baik kerana arus deras boleh mengakibatkan kepala terhentak pada batu yang terdapat di laluan air.

Memakai jaket keselamatan dan mengikat topi keledar dengan betul amat dititikberatkan. Selain itu, jika anda memakai barangan kemas, lebih baik ditanggalkan atau ditinggalkan di rumah bagi mengelakkan ia berpindah ke ruang simpanan di dasar sungai! Ini peringatan penting kerana kehilangan barang kemas ketika berakit kerap berlaku.

Sebelum memulakan aktiviti ini, perkara paling utama ialah sesi taklimat yang perlu diambil tahu oleh semua pemain kerana aktiviti ini dilakukan secara berkumpulan dan memerlukan kerjasama setiap peserta bagi memastikan pergerakan bot tidak mengalami masalah sekiranya berdepan dengan cabaran ketika berakit.

KAYAK arus deras menawarkan pengalaman mencabar.
KAYAK arus deras menawarkan pengalaman mencabar.

Antara arahan yang perlu difahami selain ‘Jump! Jump!’ ialah ‘Boom! Boom!’. Arahan ini bermakna semua penumpang perlu turun dari tempat duduk dan menghenjutkan badan bagi menseimbangkan bot sekiranya tersangkut.

Malah, peserta juga diajar cara mendayung untuk membolehkan bot bergerak ke kiri atau ke kanan. Hulu pendayung berbentuk T yang dikenali sebagai T- Grip perlu digenggam kemas kerana ada risiko bahagian itu mencederakan rakan di sebelah ketika mendayung.

Di Malaysia ada beberapa lokasi yang menawarkan aktiviti kayak arus deras antaranya di Sungai Sedim, Kulim (Kedah), Sungai Itek atau Sungai Kampar di Gopeng (Perak) dan Jeram Besu, Benta (Pahang).

Dari segi harga pula, menerusi tinjauan penulis, menawarkan pakej kayak arus deras atau rakit redah jeram ini bermula RM150 seorang yang merangkumi pengangkutan di kawasan berakit dan makanan tengahari.

Anda sudah bersedia untuk melawan arus jeram? Jomlah!

KAYAK arus deras menawarkan pengalaman mencabar.
KAYAK arus deras menawarkan pengalaman mencabar.

Lokasi popular aktiviti berakit arus deras di Malaysia

1. Sungai Sedim, Kulim, Kedah

2. Ulu Slim, Slim River, Perak

3. Sungai Itek, Gopeng, Perak

4. Jeram Besu, Benta, Pahang

5. Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor

6. Sungai Loh, Dungun, Terengganu

7. Sungai Padas, Kota Kinabalu, Sabah

8. Sungai Kiulu, Kota Kinabalu, Sabah

9. Sungai Liwagu, Ranau, Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:55 PM