RUMAH atas pokok keistimewaan menginap di sini.
RUMAH atas pokok keistimewaan menginap di sini.
Nurul Husna Mahmud


BAGI yang rindukan pengalaman bergayut di atas pokok atau bermain pondok-pondok, destinasi berkonsepkan kembali kepada alam di Kampung Kambizaan, Papar adalah sesuatu yang harus dicuba pengunjung.

Mana tidaknya, pondok untuk bermalam di lokasi terbabit menampilkan binaan daripada buluh beratapkan rumbia seolah-olah mengimbau gaya hidup masyarakat kampung sekitar era 60-an yang sangat sederhana.

Tidak keterlaluan panorama kampung tradisi itu yang memerlukan pemanduan selama sejam dari Kota Kinabalu ke Papar boleh mengusik 'jiwa' keanak-anakan apabila terdapat landasan untuk pengunjung melakukan aksi 'terjun tiruk' ke dalam sungai yang sangat jernih.

Begitulah gambaran mengenai tarikan unik dikongsi Siti Aminah Idrus, 32, ketika mengunjungi Ponohuan Homestay dan MyNurul Homestay diusahakan tiga saudara dikenali sebagai Rose, Mainim (Nurul) dan Jailin kira-kira tiga tahun lalu.

Kata Siti Aminah, lokasi percutian ini sangat sesuai buat mereka yang mahu mengasingkan diri seketika daripada hiruk-piruk kota mahupun jauh dari capaian media sosial.

"Ibarat permata baru digilap, kawasan tarikan berkenaan terletak di kawasan menghijau apabila dikelilingi pokok besar dan kanopi hijau.

"Air sungai yang warnanya kadang kala kelihatan biru kehijauan mengalir di sepanjang kampung.

"Pemandangan sebegini jarang dapat dilihat atau dirasai pengunjung terutama datang dari kota melihat mahupun menikmati air sungai yang masih jernih.

"Saya sendiri mengetahui kewujudan 'syurga' ini berdasarkan maklumat rakan sekerja yang menetap dan berasal dari Papar," katanya.

Tambah Siti Aminah lagi, kunjungan pertama ke kawasan inap desa itu seolah-olah dipukau.

MENARIK pemandangan sungai yang jernih menjadi latar gambar di media sosial.
MENARIK pemandangan sungai yang jernih menjadi latar gambar di media sosial.

"Tiba sahaja di inap desa, hati terus 'jatuh cinta' kerana tidak menyangka pemandangan indah kerap dilihat dalam poster percutian atau di Internet nyata terpampang di depan mata.

"Sungai itu menjadi penarik atau agenda utama untuk orang luar datang mandi-manda dan melakukan pelbagai aktiviti seperti berakit, terjun bebas, 'river tubing' serta bergambar.

"Langkah -langkah keselamatan diutamakan apabila disediakan jaket untuk mereka melakukan aktiviti di air. Begitu juga dengan setiap aktiviti dipantau pekerja inap desa terbabit," katanya.

Sesuai dikunjungi keluarga mahupun bersama rakan, apatah lagi pondok bermalam selesa untuk empat orang.

"Paling menonjol ialah tarikan pondok atau rumah di atas pokok. Bagi pengunjung yang ingin menikmati percutian lain daripada yang lain, bolehlah merasai pengalaman bermalam dengan rumah buluh.

PEMANDANGAN menenangkan di sungai.
PEMANDANGAN menenangkan di sungai.

"Biarpun seni bina tradisi tetapi setiap satunya masih selesa untuk dihuni empat sehingga lima orang dan dilengkapi kemudahan seperti tilam, kipas, cermin, kelambu serta termasuklah tong gas.

"Bayangkan pemandangan dinikmati dari rumah pokok itu, buka sahaja tingkap boleh dapat menikmati pemandangan sungai sambil dihiburkan kicauan unggas.

"Jika pengunjung mahu lebih cabaran, mungkin mereka boleh bawa sendiri khemah dan dirikan di tempat yang sesuai. Begitu juga hammock terdapat lokasi tertentu sesuai untuk aktiviti terbabit," katanya.

Tambah Aminah lagi, lokasi itu ideal untuk mereka yang mahu mencari ketenangan semula jadi tanpa sebarang gangguan luar kerana tiada capaian Internet.

"Pastinya pengunjung boleh fokus terhadap keindahan alam sambil menikmati aktiviti di sini.

AKTIVITI sungai seperti berakit mesti dicuba pengunjung.
AKTIVITI sungai seperti berakit mesti dicuba pengunjung.

"Satu tahap percutian sebegini diperlukan bagi setiap individu sebagai terapi selain merapatkan lagi hubungan bersama keluarga atau kenalan apabila meluangkan masa di inap desa terbabit," katanya.

Di sungai itu juga pengunjung boleh melihat 'kelibat' ikan pelian iaitu ikan kelah dalam bahasa kadazan dusun.

Terbaru, Aminah berkata, lokasi terbabit kini sedang dalam proses pengubahsuaian untuk keselesaan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 7:00 AM