SUASANA ketika berkhemah bersama peminat camper van dari seluruh negara.
SUASANA ketika berkhemah bersama peminat camper van dari seluruh negara.
Fuad Hadinata Yaacob


DARI pandangan luar, ia sekadar sebuah van jenis Combi T2 Wolksagen keluaran 1977 buatan Jerman.

Namun siapa sangka ruang dalaman van berusia 45 tahun itu lengkap bagaikan sebuah 'rumah' yang ada katil, tilam, meja makan, kerusi, rak barangan, dapur untuk memasak serta khemah.

Kreativiti pemiliknya menjadikan van itu sebagai camper van mewujudkan keselesaan ketika bergerak ke mana-mana destinasi khususnya untuk aktiviti perkhemahan.

Walaupun mempunyai ruang terhad, namun proses membina dan dekorasi camper van itu perlu dirancang teliti supaya ada ruang yang selesa serta tenang untuk berehat seperti bilik tidur.

Itu yang dilakukan pemiliknya, Mohd Sani Harul, 56, yang bijak dalam merancang dan menzahirkan idea dekorasi camper van itu.

Van yang dibeli pada 2018 itu diubah suai dengan dilengkapi pelbagai barangan dan kemudahan.

Selain mempunyai tilam di dalamnya, Mohd Sani turut menjadikan ruang bumbung van sebagai satu lagi tempat tidur dengan menambah 'roof rack.'

Katanya, tilam bersaiz kecil atau 'toto' boleh diletakkan di bahagian atas bumbung van itu untuk tidur.

MOHD Sani bersama camper van yang dimilikinya sejak lima tahun lalu.
MOHD Sani bersama camper van yang dimilikinya sejak lima tahun lalu.

Mohd Sani berkata, dia memperuntukkan ribuan ringgit untuk mengubah suai dan menjalankan kerja dekorasi van berkenaan yang berfungsi seperti van biasa kepada camper van.

"Tempat duduk asal dalam van ini saya ubah suai. Selain tempat tidur, ruang dalaman ini dijadikan tempat untuk bersantai selain menyimpan barang," katanya.

Meskipun tidak sampai lima tahun memilikinya, camper van itu sudah dibawa mengembara ke serata Semenanjung sama ada di pantai timur, selatan, utara dan pantai barat.

Menurutnya, camper van jenis Wolksagen itu mempunyai ramai peminat di seluruh negara dan hampir setiap bulan kumpulan peminat itu mengadakan aktiviti.

"Biasanya penganjur menyediakan tapak untuk perkhemahan dan pemilik van ini berkumpul beramai-ramai untuk mengikuti aktiviti dirancang.

"Melalui cara ini ia bukan saja merapatkan hubungan, malah jika berlaku kerosakan atau kami mahu mencari mekanik atau alat ganti, kawan-kawan ini yang banyak membantu," katanya.

DEKORASI dalaman camper van yang dilengkapi tilam, rak barangan serta kelengkapan lain.
DEKORASI dalaman camper van yang dilengkapi tilam, rak barangan serta kelengkapan lain.

Menurutnya, kebiasaannya mereka mengikuti aktiviti perkhemahan selama tiga hari dua malam dan mereka tidur dalam camper van atau khemah pasang siap.

"Boleh dikatakan pemilik camper van ini mempunyai kelengkapan yang lengkap, malah dalam sesuatu program, kami turut memasak beramai-ramai dengan masing-masing membawa kelengkapan," katanya.

Selain itu katanya, ada juga pemilik camper van membawa barang untuk berniaga seperti kemeja-T, topi dan sebagainya.

MOHD Sani bersama keluarga dan rakan ketika aktiviti perkhemahan.
MOHD Sani bersama keluarga dan rakan ketika aktiviti perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:20 AM