MURAL terbesar yang mengabdikan imej juruterbang solo wanita pertama merentasi Lautan Atlantik, Amelia Earhart. FOTO Roslan Ibrahim
MURAL terbesar yang mengabdikan imej juruterbang solo wanita pertama merentasi Lautan Atlantik, Amelia Earhart. FOTO Roslan Ibrahim
BERSANTAI di air. FOTO Roslan Ibrahim
BERSANTAI di air. FOTO Roslan Ibrahim
Oleh Roslan Ibrahim


KALI terakhir penulis ke Taiping pada 2017, bandar bersejarah yang sentiasa menjadi idaman untuk bercuti. Kali ini pula atas jemputan Tourism Malaysia.

Keseronokan lebih terasa kerana saya dan rakan-rakan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Stesen KL Sentral ke Taiping, Perak.

Turun dari ETS, kami menaiki van yang sudah menunggu untuk menikmati minum petang di medan selera Casual Market. Pelbagai menu makanan di sini seperti char kuetiau, mi kombat, bo bo cha cha, popia, mi rebus tulang, roti canai, pasembur dan roti jala. Makanannya memang sedap dan murah.

Selepas minum petang, kami ke hotel penginapan. Malamnya, kami ke Zoo Taiping untuk program Night Safari. Saya sudah tiga kali ke sini tapi masih teruja untuk melihat haiwan pemangsa yang bergerak di sebelah malam.

ANTARA media yang menyertai kunjungan ke Taiping kali ini. FOTO Roslan Ibrahim
ANTARA media yang menyertai kunjungan ke Taiping kali ini. FOTO Roslan Ibrahim

Mendengar ngauman singa jantan membuatkan hati berderau, seolah-olah raja rimba itu di depan kami. Seronok juga melihat kucing hutan yang terhendap-hendap seperti memburu mangsa, begitu juga peluang memberi makan badak air. Seronok sangat.

Kami menggunakan tram untuk bergerak dalam zoo pada sebelah malam tapi sesekali saya turun untuk berjalan dan ternyata lebih seronok kerana dapat melihat haiwan lebih dekat. Dalam cahaya bulan yang berbalam-balam, saya boleh melihat ada haiwan yang hanya berkumpul dalam kelompok mereka seperti rusa dan seladang.

Dalam kunjungan kali ini turut diadakan pelancaran Pakej Lawatan Pendidikan Zoo Taiping dan Night Safari disempurnakan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman selain kehadiran Penolong Pengarah Kanan bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Muhamad Aminuddin Abdul Majid.

Selesai pelancaran, kami dibawa ke ATV Adventure Part Larut untuk menghilangkan ‘ketegangan’ akibat jadual padat seharian di Zoo Taiping. Pelbagai perasaan ketika pertama kali berpeluang memandu ATV melalui jalan ‘offroad,’ antara takut, teruja dan seronok. Aktiviti sebelah malam, lebih santai apabila menyaksikan pemandangan kelip-kelip di kampung Dew .

Destinasi lain sempat kami lewati adalah Kuala Sepetang dengan mengunjungi Pusat Pembelajaran Hutan Paya Bakau di Matang dan kilang membuat arang kayu. Kuala Sepetang antara pembekal utama arang kayu di negara ini dan dieksport ke luar negara. Arang kayu di sini, antara yang terbaik di dunia.

Kami meneruskan perjalanan ke Tasik Bukit Merah Resort untuk melihat spesies Orang Utan. Menaiki bot menyusuri Tasik Bukit Merah memang mengasyikkan dan dari jauh sudah kelihatan kelibat orang utan yang dibiarkan hidup bebas di pulau berkenaan.

Melengkapkan siri pengembaraan ini kami berkunjung ke destinasi bersejarah seperti kilang kopi tertua, Kilang Kopi Antong yang diasaskan Tiah Ee Mooi pada 1933, Muzium Telegraf Taiping dan Taiping Heritage Trail.

KILANG kopi tertua di Malaysia. FOTO Roslan Ibrahim
KILANG kopi tertua di Malaysia. FOTO Roslan Ibrahim

Mengenai Taiping Heritage Trail ialah lukisan mural tiga dimensi terbesar di negara ini dan pernah menerima anugerah The Malaysia Book of Records menerusi ukuran 14.60 meter tinggi dan 27.44 meter lebar.

Lukisan mural ini juga memberi penghargaan kepada juruterbang solo wanita pertama merentasi Lautan Atlantik, Amelia Earhart yang dikatakan singgah di Taiping untuk mengisi minyak pada 20 Jun 1937.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:10 AM