PELUANG berkayak dimanfaatkan peserta.
PELUANG berkayak dimanfaatkan peserta.
Wan Mohd Ruzlan Wan Omar


TIDAK dinafikan, Terengganu antara negeri yang memiliki pulau indah termasuk Pulau Kapas yang hanya kira-kira enam kilometer dari jeti Marang. Meskipun pulau itu tidak sepopular pulau lain seperti Pulau Perhentian mahupun Pulau Redang, ia masih mempunyai tarikan tersendiri sebagai destinasi pilihan utama buat peminat aktiviti mencandat sotong yang biasanya diadakan sekitar Jun hingga Julai saban tahun.

Apa yang menarik mengenai Pulau Kapas ialah keluasannya iaitu hanya dua kilometer panjang sementara lebarnya sekitar satu kilometer.

Namun, ia masih menjadi destinasi sesuai untuk dikunjungi pelancong mahupun penganjuran aktiviti korporat atau kursus tertentu.

Terbaharu seramai 28 guru dan kakitangan dari Sekolah Menengah Sultan Sulaiman (SMKSS), Kuala Terengganu berpeluang mengunjungi pulau terbabit menerusi program Rehat Santai.

PESERTA teruja melakukan aktiviti di air.
PESERTA teruja melakukan aktiviti di air.

Menurut pengerusi penganjur, Wan Zakaria Wan Mohammad, destinasi pulau berkenaan yang berhampiran Kuala Terengganu iaitu kira-kira 16 kilometer sangat sesuai sebagai lokasi riadah buat guru dan staf terbabit.

“Lokasi kali ini tidak memerlukan perjalanan jauh selain peserta dapat bersantai menikmati keindahan pulaunya. Maklumlah mereka sentiasa sibuk dengan tugas hakiki mendidik anak bangsa dan komitmen pada keluarga.

“Sekurang-kurangnya dengan mengunjungi destinasi indah, ia secara tidak langsung merehatkan minda atau menjadi terapi semula jadi.

“Selain dikenali dengan keindahan pasir putih dengan air lautnya yang jernih, peserta program kali ini berpeluang berenang sambil mengenali hidupan marin di perairan berkenaan,” katanya.

Pengisian program santai selama dua hari satu malam itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Antara yang menarik, kami sama-sama membakar ikan yang dikail sendiri. Ia satu kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat menikmati tangkapan sendiri. Keceriaan jelas tergambar pada setiap mereka.

“Selain memancing, aktiviti lain termasuk snorkeling, menyelam, berkayak atau menjelajah pulau tidak kurang menariknya,” katanya.

MERAKAM kenangan bersama-sama.
MERAKAM kenangan bersama-sama.

Tidak hanya dapat berehat, dalam program santai terbabit juga turut memberi pengalaman bermakna buat peserta dengan adanya slot khas iaitu aktiviti membersihkan persekitaran pantai pulau berkenaan.

Pengetua SMKSS, Wan Rohana Wan Mansor, menyifatkan sebagai pengunjung tempatan, kesempatan melakukan aktiviti bergotong-royong membersihkan pulau pada keesokan harinya memberi pengalaman berbeza.

“Meskipun aktiviti itu hanya diputuskan pada malam sebelumnya, kesanggupan guru dan kakitangan SMKSS berpanas dan 'mengotorkan' tangan mengakhiri percutian disifatkan satu sikap serta teladan terbaik selaku pendidik.

“Andai semua pengunjung mengambil inisiatif sama iaitu berusaha memelihara dan menjaga kebersihan pantai, semestinya kebersihan serta keindahan persekitaran dapat dikekalkan dalam setiap lokasi pelancongan di negara kita,” katanya menyifatkan pulau itu sesuai untuk kunjungan bersama keluarga kerana pantainya landai dan bersih selain airnya cetek.

INFO

Akses ke Pulau Kapas:

- Boleh menaiki bot atau feri dari Jeti Marang.

- Perjalanan mengambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke pulau berkenaan.

- Bayaran dikenakan untuk ke Pulau Kapas RM45 seorang.

Tarikan unik:

- Lokasi menarik untuk snorkeling ialah kawasan antara Pulau Kapas dan Pulau Gemia (di bahagian barat pulau).

- Menyelam atau skuba di kawasan kapal perang dunia kedua yang karam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:00 AM