PEMANDANGAN berbeza ditawarkan Sky Box.
PEMANDANGAN berbeza ditawarkan Sky Box.
PELANCONG tidak melepaskan peluang bergambar kenangan di dalam kotak berlantaikan kaca.
PELANCONG tidak melepaskan peluang bergambar kenangan di dalam kotak berlantaikan kaca.
TONY bersama isteri teruja melihat pemandangan dari dalam Sky Box.
TONY bersama isteri teruja melihat pemandangan dari dalam Sky Box.
MENARA Kuala Lumpur mempunyai pelbagai tarikan menarik untuk pengunjung.
MENARA Kuala Lumpur mempunyai pelbagai tarikan menarik untuk pengunjung.
BURUNG hinggap di tangan untuk menikmati makanan yang diberikan cukup mengujakan.
BURUNG hinggap di tangan untuk menikmati makanan yang diberikan cukup mengujakan.
SI kecil Nur Kaisara Ahmad Fauzal melihat kanggaru yang comel.
SI kecil Nur Kaisara Ahmad Fauzal melihat kanggaru yang comel.
MELIHAT ikan jerung dengan lebih dekat pasti menyeronokkan.
MELIHAT ikan jerung dengan lebih dekat pasti menyeronokkan.
MENARA tinjau memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi di depan mata.
MENARA tinjau memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi di depan mata.
JAMBATAN gantung di Taman Eko Rimba dengan pemandangan Menara Kuala Lumpur cukup indah.
JAMBATAN gantung di Taman Eko Rimba dengan pemandangan Menara Kuala Lumpur cukup indah.
Suliati Asri


Bersantai di dalam bilik kaca ala akuarium setinggi 300 meter dari aras tanah. Anda berani?

Jika tidak gayat, anda boleh cuba memasuki Sky Box, bilik kaca yang terkeluar dari tebing pelantar terbuka (Sky Deck) di Menara Kuala Lumpur.

Sambil menyaksikan pemandangan dari udara yang berdinding dan berlantai kaca, anda pastinya tidak mahu melepaskan peluang merakamkan gambar detik terindah itu.

Ini kerana Sky Box menawarkan 360 darjah pemandangan di bandar raya Kuala Lumpur dan sebahagian Lembah Klang.

Anda dijamin teruja dengan pemandangan yang lain daripada lain itu walaupun pasti secebis perasaan takut dan mendebarkan dirasai.

Menjadi tarikan terbaru Menara Kuala Lumpur, Sky Box boleh memuatkan sehingga enam orang pada satu masa.

Apa yang pasti, Sky Box menawarkan pemandangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini di Kuala Lumpur kerana berasakan seolah-olah ibu kota berada di bawah kaki anda.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata, Sky Box dibuka sempena sambutan 20 tahun menara itu.

Mula dibuka kepada orang ramai secara rasmi esok, Sky Box diwujudkan untuk memberikan pandangan bawah (down view) kepada pengunjung.

“Sebelum ini, Sky Deck memberi peluang kepada pengunjung melihat pemandangan sekitar Kuala Lumpur terutama saat matahari terbenam.

“Dengan adanya Sky Box, pengunjung bukan saja berpeluang melihat pemandangan menyeluruh di depan dan bawah, malah dapat merasai perasaan teruja saat berdiri di atas lantai kaca di luar tebing Menara Kuala Lumpur.

“Lebih mengujakan, lantai kaca yang sangat kukuh ini memberikan pemandangan bawah yang cukup terang,” katanya.

Dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, Sky Box yang secara ringkasnya penulis gambarkan sebagai kotak kaca lutsinar, boleh menampung berat sehingga 1,000 kilogram tetapi hanya enam orang dibenarkan berada di atasnya pada satu masa.

Petugas keselamatan ditempatkan setiap hari bagi memantau dan memastikan pengunjung mematuhi aspek keselamatan saat berada di dalam Sky Box.

Meor Shahril berkata, Menara Kuala Lumpur adalah menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia dan sangat strategik kerana kedudukannya di tengah ibu kota.

“Kami memanfaatkan keunikan dan kelebihan ini untuk memberi pengalaman baru kepada pengunjung termasuk pelancong dari luar negara,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari China, Tony Ye berkata, kunjungan kali pertamanya ke Menara Kuala Lumpur cukup mengujakan.

Dia yang mengakui gayat berjaya mencabar diri walaupun hanya melihat pemandangan di bawah selama beberapa saat saja.

“Saya memang gayat tapi disebabkan ingin mencabar perasaan itu, saya beranikan diri.

“Tarikan baru Menara Kuala Lumpur ini agak hebat dan sudah pasti akan menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia,” katanya yang mengunjungi Malaysia bersama isterinya untuk percutian bulan madu.

Selain Sky Box, pelantar terbuka tempat letaknya tarikan terbaru ini juga antara tarikan utama di Menara Kuala Lumpur.

Menjadi lokasi terjunan peserta KL Tower Base Jump setiap tahun, berada di pelantar terbuka ibarat menjejakkan kaki ke puncak dunia.

Mahu melihat pemandangan keseluruhan Kuala Lumpur? Pelantar pemandangan di ketinggian 276 meter adalah tempatnya.

Di sini juga, pengunjung berpeluang menghabiskan masa menikmati pemandangan menakjubkan.

Tersergam indah di atas puncak Bukit Nanas, persekitaran yang menghijau ibarat bonus buat Menara Kuala Lumpur.

Walaupun terletak di tengah kota metropolitan, persekitarannya mendamaikan dengan kicauan burung dan suasana segar dek kehijauan pokok yang tumbuh subur.

Taman Eko Rimba KL memberi peluang kepada pengunjung menerokai keindahan alam semula jadi dengan bantuan pemandu pelancong terlatih.

Pengunjung boleh memilih empat waktu yang dijadualkan iaitu pada jam 10 pagi, 12 tengah hari, 2 petang atau 4 petang untuk menerokai kehijauan alam semula jadi Taman Eko Rimba KL.

Pokok jelutung yang masih subur di Taman Eco Rimba Kuala Lumpur antara yang mengagumkan, ditambah dengan pelbagai kemudahan di taman itu termasuk menara tinjau dan jambatan gantung.

Menambahkan lagi keseronokan, kunjungan ke KL Tower Mini Zoo pasti menyeronokkan terutama buat si kecil.

Di zoo mini ini, pelbagai haiwan jinak yang jarang ditemui seperti meerkat, rakun, falabella yang juga spesies kuda terkecil di dunia dan banyak lagi haiwan pasti akan meninggalkan kenangan terindah.

Di Blue Coral Aquarium pula, melihat jerung secara dekat bersama pelbagai spesies ikan pasti menyeronokkan.

Begitu juga dengan Flavour of Malaysia yang menjanjikan pengalaman menarik melihat replika rumah tradisional Malaysia pelbagai etnik, budaya dan masyarakat di bawah satu bumbung.

XD Theater juga tidak kurang hebatnya. Menerusi aktiviti CD Theater ini, pengunjung dapat merasai pergerakan simulasi 6D yang menjangkau masa, ruang dan imaginasi terbaru bersama keluarga dan rakan.

Penat berjalan seharian, mengisi perut di Restoran Berputar membuatkan hari anda cukup mengujakan.

Sambil menikmati kelazatan makanan yang disajikan, pemandangan malam sekitar Kuala Lumpur pasti membuatkan kunjungan ke Menara Kuala Lumpur menjadi kenangan terindah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:34 PM