ANWAR (kanan) ketika menyambut ketibaan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
ANWAR (kanan) ketika menyambut ketibaan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghoskan majlis makan malam sempena lawatan negara Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini.

Ketibaan Marcos bersama pasangannya Louise Araneta-Marcos di KLCC kira-kira 7.50 malam, disambut Anwar serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kedua-dua pasangan kemudian dibawa naik ke tingkat 86 menara berkenaan dan meluangkan masa kira-kira 10 minit menikmati pemandangan ibu kota dari dek tinjau bangunan itu.

Mereka seterusnya bergerak ke tingkat 42 menara bagi menghadiri majlis makan malam itu yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Anwar dan Marcos bersama pasangan masing-masing kemudiannya meluangkan masa meninjau jambatan KLCC yang menghubungkan kedua-dua menara berkembar itu yang juga berada di aras 42 sebelum bergerak meninggalkan majlis.

Terdahulu pada sebelah petang, Presiden Filipina yang sedang dalam lawatan negara sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam, mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri di Putrajaya.

Sebelum itu Marcos dan isteri diberi sambutan negara dengan kehadiran mereka di Istana Negara di sini, disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 11:16 PM