Miley Cyrus ketika memenangi Anugerah Grammy, baru-baru ini. FOTO AFP
Miley Cyrus ketika memenangi Anugerah Grammy, baru-baru ini. FOTO AFP
Oleh Georgie Joseph


Manisnya sebuah penantian apabila terbayar dengan pencapaian agung.

Tidak kiralah berdekad mengharap, sabar menunggu, tak putus cekal, segala bentuk rintangan, tapi akhirnya dikecapi jua.

Kemanisan itulah dirasai penyanyi, Miley Cyrus, 31, di Grammy Awards ke-66, kelmarin selepas 22 tahun lamanya mengidam trofi keramat itu. Dia tidak menyorokkan riak wajah keterujaannya.

Setimpallah dengan perit jerihnya melakar legasi sejak kanak-kanak. Meledak sebagai bintang pop ternama menerusi rancangan Hannah Montana, transisi kematangan seninya cukup ketara.

Cyrus menunjukkan dirinya memang 'unstoppable' dalam melunas impian peribadi serta ratusan juta peminat setianya seluruh dunia. Dia terus berjalan walaupun kerjayanya tidak selalu di atas.

Justeru, dua trofi dimenanginya iaitu Rekod Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik menerusi lagu tularnya, Flowers jadi bukti kukuh bahawa hasil tidak mengkhianati usaha. Mutlak rezeki itu tertulis buatnya.

Ibarat lagunya yang cukup ikonik The Climb, pendakian Cyrus ke puncak demi puncak kerjaya tanpa lelah. Sikap percaya dirinya terlalu menebal untuk mengejar gelaran anak seni agung.

Sepanjang pengembaraan itu, kisah hidupnya tidak terlepas diselangi bermacam pancaroba. Namun, dia menghormati status tingginya selaku anak seni yang tidak patut tewas baik sehodoh mana pun rintangan.

Ia termasuk kisah perubahan sisi manis dirinya menjadi liar, kisah cinta penuh kontroversi dan sebagainya. Seperkara yang pasti, keagungan muziknya tetap ditatang rapi dan teguh.

Tuntasnya, sifat cekal dan percaya diri pada Cyrus adalah semangat yang harus jadi pegangan hidup semua orang. Bukan saja golongan selebriti, segenap masyarakat amnya.

Dalam mengejar kejayaan agung, ia tidak pernah ada tarikh luputnya. Cepat atau lambat, semua itu tergantung adakah kita masih teguh berjuang atau mengalah di pertengahan jalan.

Bak kata pepatah inggeris, better late than never, perihal mengejar impian juga tidak mengenal usia. Ada yang cuma beroleh kemanisan hidup pada usia senja atau selepas berdekad-dekad lamanya menanti.

Sebagai contoh juga, Tan Sri Michelle Yeoh yang melakar sejarah menjadi wanita Asia pertama menang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Academy Awards atau Oscar ke-95, tahun lalu menerusi filem Everything Everywhere All at Once.

Anak jati Ipoh, Perak itu cuma mengecap kemenangan keramat terbabit pada usia 61 tahun. Penantian itu bukan sekejap, hakikatnya lebih empat dekad selepas dia tidak putus mengukir nama di industri filem dunia.

Tidak ketinggalan, penyanyi Liza Hanim, 44, yang menanti hampir tiga dekad untuk mengadakan konsert sulungnya iaitu Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Impian itu dipendam terlalu lama di mana hasratnya untuk melihatnya jadi realiti tidak pernah padam. Nadi cintanya terhadap kerjaya nyanyian terus menyala untuk pastikan impian itu terlaksana.

Inspirasi sebegitu seharusnya menjadi pedoman buat manusia sejagat

untuk sentiasa berangan-angan. Sebagaimana kata penyanyi Aina Abdul juga, angan-angan itu percuma.

Kalau sekiranya impian yang dihajatkan tidak kesampaian pada waktu diinginkan, itu tak mengapa. Pasang lagi impian untuk terus mengejarnya tanpa meletakkan noktah kepada perjuangan.

Hidup ini kan penuh kejutan. Siapa tahu, kejayaan agung itu tiba pada masa tidak terduga dan tanpa kita bersedia sekalipun. Kalau tertunda sekali pun, kita tahu ia penantian yang cukup berbaloi.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:31 AM