Ridzuan Abdul Rahman

Gegak gempita jadinya. Ini ayat yang sesuai diperkatakan mengenai gelombang dan gelora yang melanda industri seni tanah air baru-baru ini.

Baru sahaja memasuki tirai 2024, sudah bermacam-macam isu dan kontroversi tercetus yang mencipta sensasi dan mengundang tumpuan ramai.

Bermula dengan isu pelakon Aman Graseka yang dikatakan galak menghantar mesej meminta wang, ia kemudian dituruti kisah Fathia Latiff yang kembali mengenang kisah lama dengan bekas kekasihnya sehingga menjadi tumpuan ramai.

Nama Aman yang sudah lama menyepi dari industri seni, tiba-tiba menjadi tumpuan apabila pelakon Sharifah Shahira berkongsi mesej WhatsApp yang memaparkan pelakon terbabit meminta wang.

Perkara ini mula menjadi tular dan pelakon terbabit selepas itu tampil menafikan perkara berkenaan dan mengakui mencari pendapatan dengan berniaga.

Bagaimanapun, penafian itu tidak cukup untuk mematikan isu ini apabila ramai penggiat seni lain turut masuk campur apabila mengakui sering menerima mesej serupa dari Aman dengan pelbagai alasan antaranya anak sakit dan untuk membaiki kenderaan yang rosak.

Hangat, tetapi isu ini akhirnya padam sendiri apabila Fathia mencuri tumpuan dengan paparan video yang menyindir isteri bekas kekasihnya, Aiman Hakim Ridza iaitu Zahirah MacWilson.

Ia segera menjadi perhatian ramai pihak termasuk media yang tidak ketinggalan menyiarkan berita ini. Fathia pula yang menyedari dirinya menjadi tumpuan, terus menerus berkongsi video sindirannya.

Kali ini bukan kepada Zahirah, sebaliknya pada Aiman. Biarpun teruk dikecam, Fathia seakan-akan tidak mempedulikannya kerana dia seperti meluahkan perasaan yang sudah lama terbuku di hati.

Barangkali ada masyarakat menganggap media tidak kira apa medium sekali pun suka menjaga tepi kain artis dengan menyiar dan menyebarkan cerita yang membuka aib.

Bagaimanapun, suka atau tidak, paparan cerita sebegini disukai dan dinantikan netizen. Di bibir mereka berkata tidak, hakikatnya mereka sering ternanti-nanti untuk membaca cerita sebegini.

Ketika itu, ada yang bertindak 'alim' menjadikan pihak media pula sebagai sasaran dengan mengecam paparan berita sebegini.

Sebenarnya bukan tiada cerita positif dari sudut hiburan yang dipaparkan, tetapi rating dari pembaca sebenarnya sangat rendah. Mereka lebih sukakan berita negatif dari menyokong perkara positif yang boleh membantu industri seni.

Dalam keasyikan peminat mengikuti kisah Fathia, secara tiba-tiba sahaja tercetus isu paling hangat yang membabitkan Tyzo Xander dengan bekas majikannya, Suria FM.

Tyzo ketika bersiaran menerusi slot Suria Petang bersama Sharifah Shahira pada 12 Januari lalu, membuat kejutan apabila mengumumkan khidmatnya secara rasmi berakhir pada hari itu.

Ternyata ia mengundang perdebatan hangat dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin menjadi sasaran kecaman hebat peminat yang menyalahkannya atas apa yang berlaku.

Ada yang mahu bertindak keterlaluan sehingga mengugut mahu memboikot Suria FM dan beralih kepada saluran radio lain.

Malah, penjelasan Pengerusi Star Media Radio Group Berhad, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse yang tampil bersama DJ Lin dalam sidang media yang diadakan juga tidak diterima peminat.

Begitu fanatiknya peminat terhadap pemenang kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH pada Julai tahun lalu ini.

Apa pun kita tinggalkan kontroversi ini kerana lambat-laun ia akan reda sendiri. Ada baiknya sekarang kita tumpukan perhatian kepada pertandingan tahunan, Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac nanti.


Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 6:00 AM