PENGORBANAN dimaksudkan adalah demi kepentingan tugas hingga mengetepikan seketika hal keluarga dan diri sendiri.
PENGORBANAN dimaksudkan adalah demi kepentingan tugas hingga mengetepikan seketika hal keluarga dan diri sendiri.
Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

KITA selalu cakap kita dulu sangat susah dalam menempuh perjalanan hidup sejak lahir hingga ke saat ini, namun begitu susah jerih orang lain kita tidak tahu. Bagaimana orang yang menempa nama dan kejayaan besar, tetapi pada permulaan hidupnya amat susah.

"Saya pernah makan nasi dengan garam suatu ketika dahulu," kata seorang tokoh yang menempa kejayaan cemerlang dalam hidup menyebabkan ramai termangu mendengar ucapannya.

Pesannya, jika mahu menempa kejayaan perlu bersyukur, berusaha gigih dan mempunyai disiplin tinggi untuk mencapai apa yang dihajati. Bagi menempa kejayaan cemerlang memerlukan pengorbanan tinggi sama ada daripada segi tenaga, pemikiran, menolak ke tepi sementara kepentingan keluarga dan lainnya.

"Saya pernah ditembak dengan senjata M16 di belakang badan, luka dan kesan parutnya masih ada dalam usaha menegakkan undang-undang," katanya sambil meneruskan amanat dalam perhimpunan itu.

Dalam memotivasikan pegawai baharu dalam dunia kepolisan masa kini, beliau seterusnya meniupkan satu bidalan yang sangat puitis dengan penuh makna tersirat.

"Untuk menjadi ketua, ia seperti mendayung di sungai yang deras arusnya, mengemudi sampan berhati-hati dengan bijaksana agar sampai ke destinasi yang dituju. Penat lelah mendayung dan kebijaksanaan mendayung adalah strategi yang perlu diterapkan, tenang dan berdisiplin jika tidak perahu dan kita akan tenggelam dihanyutkan arus deras."

Kata-kata puitis dan bidalan yang penulis dengar menusuk jiwa daripada individu hebat itu. Tidak perlu kita bermuka-muka atau membodek pemimpin tertinggi jika apa yang dilakukannya memang membawa kesan mendalam kepada kita dan masyarakat.

Menyentuh mengenai penerajuan pemimpin penguat kuasa terkenal ini kepada negeri Johor yang diterajuinya lebih kurang dua tahun, amat memberi kesan dan mesti dicontohi oleh pemimpin muda masa kini.

Kesan itu dirasai oleh masyarakat dengan berbagai perkara baharu bersesuaian dengan peredaran masa, kepemimpinan yang membawa nama baik dan menjadi contoh, bukan kita sebagai anak buah hendak membodek tidak tentu arah, tetapi ini kenyataan ikhlas.

Penulis amat tertarik dengan inti pati amanat terakhirnya mengenai pengorbanan. Setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ada sikap berkorban demi bangsa dan negara kerana ia sikap yang perlu diterap, dihadam dan dijiwai setiap anggota pasukan.

Pengorbanan dimaksudkan adalah demi kepentingan tugas hingga mengetepikan seketika hal keluarga dan diri sendiri.

"Jangan pula apabila cuti dibeku kerana tugasan pilihan raya, perayaan dan banjir, kita menjadi bingung. Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan pasti ada hikmah di sebaliknya dan kemanisan pasti akan menjelma juga.

"Jika tiada sikap dan pengorbanan dalam diri seseorang individu yang menjaga keamanan negara dan masyarakat, dia bukanlah seorang anggota PDRM yang baik," tambahnya.

Antara inti pati amanat beliau yang boleh dijadikan panduan serta pedoman buat anggota PDRM yang sedang bertugas ialah:

  • Mengendalikan penugasan kerja dengan berhemah dan mengutamakan keselamatan terutama anggota di barisan hadapan.

  • Mengikut arahan pasukan dari semasa ke semasa kerana setiap arahan mengikut kesesuaian peredaran masa.

  • Berintegriti dalam penugasan. Integriti amat penting kepada pasukan keselamatan kerana tanpa integriti, sesebuah jabatan atau organisasi akan musnah.

  • Jangan mensia-siakan pengalaman yang ada dalam penugasan. Tugas sebagai pengantara antara kerajaan dan masyarakat atau kita sebagai pemudahcara kepada kerajaan.
  • Konsep kekeluargaan yang utuh. Keluarga memainkan peranan penting dalam kehidupan dan pekerjaan, sokongan daripada anak dan isteri menguatkan semangat kita dalam tugas, kesempurnaan kekeluargaan akan menjadikan kita bermotivasi dalam dunia pekerjaan.

  • Teruskan menimba ilmu kerana ilmu sangat penting dalam kehidupan. Kekurangan ilmu akan menjadikan jabatan atau organisasi kita ketinggalan.

    Beliau sendiri pernah menimba ilmu di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bagi membentuk kesempurnaan PDRM bersesuaian dengan Modern Policing and Future Policing.

    Antara konsep Modern Policing and Future Policing yang dilaksanakan beliau adalah seperti penerokaan kepada penguat kuasa alaf baharu dengan sistem pemantauan CCTV di kereta peronda bagi tujuan rondaan, membuat pengubahsuaian jentera van polis menjadi sebuah pusat pemantau dengan sambungan terus ke pusat kawalan (PKD) adalah sesuatu yang menuju kepada kepolisan masa depan.

    Sikap terbuka dan ramah mesra atau mesra rakyat yang ditonjolkan memberi kesan terbaik sebagai contoh pemimpin berjiwa rakyat walaupun sebagai 'jeneral perang' paling berkuasa di Johor.

    Amanat terakhir dalam siri lawatannya ke daerah pentadbirannya amat menusuk sanubari hingga boleh menitiskan air mata pendengar.

    Begitulah amanat daripada seorang tokoh berkaliber yang dihormati iaitu Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat termasuk kepada warga polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam, baru-baru ini. Beliau akan bersara pada 23 Januari ini.

    Semoga beliau dan keluarga dikurniakan kesihatan yang baik dan bahagia di alam persaraan. Segala budi dan jasanya amat disanjung oleh seluruh lapisan masyarakat dan warga PDRM.

    Selamat bersara Datuk Kamarul Zaman Mamat!

    Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:59 AM