Kuala Lumpur: Dewan Rakyat semalam dimaklumkan rasional Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan inisiatif untuk menaikkan had pengeluaran penuh daripada 55 tahun kepada 60 tahun bertujuan menangani isu berkaitan ketidakcukupan simpanan dalam kalangan ahli dalam jangka panjang.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong (BN-Labis) berkata, faktor jangka hayat dan tempoh persaraan yang semakin meningkat, kos sara hidup meningkat dan wang simpanan tidak mencukupi untuk menampung tempoh persaraan serta kesedaran mengenai kepentingan perancangan dan persaraan adalah antara faktor inisiatif itu dilakukan.

Beliau berkata, sebanyak 18 peratus daripada 14.19 juta jumlah keseluruhan ahli KWSP mencapai kuantum simpanan asas mengikut umur manakala 33 peratus daripada 6.69 juta ahli aktif mencapai kuantum simpanan asas mengikut umur sehingga 31 Disember 2014.

“Sebanyak 22 peratus daripada 14.19 juta ahli aktif pula mencapai kuantum simpanan asas berusia 54 tahun. Ini menunjukkan ramai ahli KWSP tidak akan mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung keperluan persaraan apabila berusia 55 tahun dan hampir separuh daripadanya sudah membuat pengeluaran penuh dan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun, ini akan membebankan mereka di hari tua jika tiada pendapatan lain.

“Justeru, KWSP memperhalusi cadangan menyelaraskan pengeluaran penuh pada usia 60 tahun,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 8:07 AM