PERANAN SPRM semakin mencabar apabila fungsi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) diserapkan ke SPRM mulai 18 April lalu.
PERANAN SPRM semakin mencabar apabila fungsi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) diserapkan ke SPRM mulai 18 April lalu.
Tan Sri Azam Baki

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini menjejak usia ke-56 semalam, tidak lagi menoleh ke belakang dan akan terus memberi tumpuan dalam usaha membantu merancak dan meningkatkan semula ekonomi negara.

Sejajar dengan peranannya dalam melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan dan undang-undang, maka tidak hairanlah sejak penubuhannya pada 1967, banyak kejayaan sudah dicapai bukan sahaja daripada segi operasi, malah termasuk aspek pencegahan dan pendidikan.

Dalam usaha untuk memperkasakan aspek operasi, SPRM sudah meluaskan skop penyiasatan dengan mempelopori kaedah siasatan jenayah kewangan yang membabitkan salah laku dalam kes kewangan ekonomi negara.

Ia adalah teknik terkini ysng digunakan bagi siasatan kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan jumlah kewangan yang banyak dan berskala besar serta berprofil tinggi.

Kaedah siasatan jenayah kewangan ini bukan sahaja dipelopori SPRM, tetapi kita akan mengajak beberapa agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila siasatan membabitkan kes besar atau sindiket jenayah berkaitan kewangan.

SPRM juga perlu bekerjasama dengan agensi-agensi tempatan atau antarabangsa berkaitan kerana mempunyai kepakaran masing-masing untuk membantu dari setiap sudut siasatan.

SPRM juga tidak boleh 'work in silo' kerana ia menyebabkan kita hanya fokus kepada satu perkara sahaja dan dengan kerjasama agensi lain yang dinamakan pasukan khas ataupun secara berpasukan, mereka boleh membantu dari segi kepakaran dan undang-undang, manakala siasatan diketuai oleh SPRM.

Menerusi pelaksanaan kaedah ini, SPRM mencatat kejayaan apabila berjaya menumpaskan sindiket penipuan atas talian antarabangsa (scammer) dalam Op Tropicana menerusi kolaborasi bersama agensi tempatan dan luar negara.

Sesuai dengan peredaran semasa, kaedah serta pendekatan yang dilaksanakan oleh SPRM juga lebih terkini dan profesional bukan sahaja dalam usaha membanteras rasuah malah mengatasi ketirisan bagi mengembalikan aset dan dana kerajaan.

Antaranya, SPRM sudah membentuk satu kaedah penyiasatan yang menjayakan kes berprofil tinggi membabitkan individu berjawatan atau berkedudukan tinggi menggunakan kaedah Siasatan Berasaskan Risikan atau Intelligence Based Investigations (IBI).

Selain itu, peranan SPRM semakin mencabar apabila fungsi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) secara rasmi diserapkan sepenuhnya ke SPRM mulai 18 April lalu dan kini dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN).

Mengenai ulang tahun SPRM ke-56, SPRM optimis mahu mencapai negara bebas rasuah bukan sahaja daripada aspek penguatkuasaan atau operasi malah menguatkan jentera pencegahan untuk menutup ruang dan peluang perlakuan rasuah sehingga ke akar umbi.

Usaha dan tanggungjawab membanteras rasuah tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada SPRM, tetapi perlu mendapat sokongan daripada semua pihak.

Sementara itu, antara aktiviti dirancang sempena sambutan ulang tahun ialah Pertandingan Mereka Bentuk Setem dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad, Pertandingan Lagu Patriotik, majlis bacaan Yassin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, manakala acara kemuncak sambutan pada hari ini di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Tahun ini buat pertama kali SPRM menghasilkan setem kenang-kenangan yang boleh dibeli di pejabat Pos Malaysia di seluruh negara dan kami sudah menerima 80 penyertaan dalam kalangan pegawai dan kakitangan SPRM seluruh negara.


Penulis Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 6:00 AM