Kanye West membayar RM890,000 sebulan sebagai wang nafkah untuk anak-anak mereka yang kini dalam jagaan Kardashian. FOTO AFP
Kanye West membayar RM890,000 sebulan sebagai wang nafkah untuk anak-anak mereka yang kini dalam jagaan Kardashian. FOTO AFP
Rencana

Ketika membaca komen di ruangan Facebook pada perkongsian artikel berkaitan tuntutan perceraian selebriti Kim Kardashian dan penyanyi rap Ye yang sebelum ini dikenali sebagai Kanye West, hati saya benar-benar tersentuh dengan perasaan bercampur-baur.

Bukan kerana perpisahan antara selebriti berkenaan sebaliknya kisah realiti ibu tunggal di Malaysia yang sukar menerima hak tuntutan nafkah anak daripada bekas suami.

Artikel itu menceritakan mengenai persetujuan Ye untuk membayar RM890,000 sebulan sebagai wang nafkah untuk anak-anak mereka yang kini dalam jagaan Kardashian.

Dari satu sudut, Ye memang dalam kategori mampu memberi jumlah yang banyak sebagai nafkah anak-anak kerana dia sendiri bergelar selebriti dan jumlah berkenaan mungkin bukan masalah besar bagi dirinya.

Namun, bukan itu isu yang dipertikaikan ibu-ibu tunggal yang singgah di ruangan komen artikel berkenaan.

Seorang ibu tunggal memberi komen bahawa dia umpama pengemis menuntut nafkah anak-anak kerana bekas suami culas menjalankan tanggungjawab walaupun perintah mahkamah sudah dikeluarkan.

Katanya, nak ke mahkamah tuntut cerai perlu keluar duit, nak tuntut nafkah anak perlu keluar duit, jika mahkamah dah keluar perintah tetapi bekas suami culas pun kena keluar duit juga untuk buat tuntutan baharu.

Untuk menuntut duit, si ibu tunggal perlu keluar duit dahulu.

Seorang lagi ibu tunggal memberi komen bahawa bekas suaminya memberikan nafkah hanya RM100 untuk tiga anak dan yang anehnya mempunyai duit yang banyak pula untuk berkahwin lain.

Di ruangan komen sama, seorang lagi ibu tunggal memberi komen pedas apabila mengatakan segelintir lelaki mempertahankan poligami dan mengatakan ia sunah, namun apabila tiba isu nafkah yang wajib, semuanya buat tak kisah, lupa hukum asal.

Hinggakan ada seorang wanita meninggalkan komen bahawa lelaki Malaysia khususnya yang beragama Islam patut malu dengan Kanye West kerana tahu menjalankan tanggungjawab.

Ternyata ruangan berkenaan dibanjiri komen kaum wanita khususnya ibu tunggal yang mungkin berkongsi pengalaman sendiri atau sesiapa yang mereka kenali.

Tidak pasti di mana silapnya. Adakah institusi undang-undang negara tidak tegas hingga ada segelintir bapa lepas tangan dan menyerahkan semua tugas membesarkan anak-anak ke tangan bekas isteri?

Atau si bapa 'terlalu cerdik' hingga banyak helah dibuat untuk melarikan diri daripada membayar nafkah anak-anak.

Berdasarkan maklumat dari sebuah portal peguam syarie, peguambela dan peguamcara, seorang wanita bertanya mengenai apa yang boleh dilakukan sekiranya bekas suami tidak mematuhi perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah.

Terdapat beberapa tindakan boleh diambil antaranya memfailkan permohonan tunggakan nafkah atau memohon kepada mahkamah supaya bekas suami dikenakan hukuman menghina mahkamah kerana enggan mematuhi perintah mahkamah.

Untuk memfailkan tuntutan itu, si ibu perlu memfailkan tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah dan melantik Peguam Syarie untuk mewakilinya.

Sekali lagi, untuk menuntut duit, si ibu perlu keluarkan duit.

Disebabkan inilah ramai ibu tunggal 'malas' menuntut hak mereka. Cukup bulan, hantar mesej kepada bekas suami dan minta duit nafkah anak-anak. Jika si bapa beri, Alhamdulillah. Jika tidak, pasrah sajalah.

Keadaan ini berulang-ulang setiap bulan, saban tahun, hinggalah anak itu besar kelak.

Berdasarkan maklumat ringkas berkaitan nafkah anak-anak di United Kingdom, bapa yang culas membayar nafkah anak-anak, Perkhidmatan Perbelanjaan Kanak-kanak (CMS) boleh membuat permohonan mahkamah supaya bapa dikenakan tindakan tahanan pasport atau lesen memandu ditarik balik selain penjara hingga enam minggu.

Di Amerika Syarikat, bapa yang gagal membayar nafkah boleh berdepan pelbagai masalah antaranya gaji disekat atau bayaran balik cukai ditangguhkan. Selain itu, mahkamah juga boleh menyita aset atau menggantung lesen memandu serta lesen profesional seseorang.

Bagi mereka yang bukan beragama Islam di Malaysia, sudah pasti terikat dengan undang-undang perkahwinan dan perceraian yang mana turut memerlukan si bapa menunaikan nafkah anak-anak.

Walaupun tidak semua lelaki culas menunaikan nafkah anak, namun saya yakin ramai di luar sana gagal menjalankan tangunggjawab mereka. Tidak pasti apa yang membuatkan mereka lepas tangan.

Adakah kerana dendam kepada bekas isteri? Atau gaji tidak mencukupi? Jadi selama masih berkahwin, bagaimana perbelanjaan untuk rumah tangga itu? Adakah semuanya diserahkan kepada isteri?

Imam Ibn al-Munzir Rahimahullah berkata: "Telah ijma' (sepakat) para ulama ke atas seorang lelaki itu (kewajipan) untuk memberikan nafkah ke atas anak-anaknya yang tidak memiliki harta.

"Bahkan, meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa."

Sabda Nabi SAW, daripada Abdullah bin 'Amr bin al-Ash berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya." (Riwayat Abu Daud - 1692)

Semoga semua para bapa yang sudah berpisah dengan isteri mereka tidak melupakan tanggungjawabnya memberi nafkah untuk anak-anak dan semoga semua ibu tunggal yang bergelut mencari rezeki kerana bekas suami gagal menjadi lelaki, sentiasa diberi kekuatan dan kesihatan membesarkan anak-anak.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 7:00 AM