MAHASISWA perlu menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti.
MAHASISWA perlu menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti.

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini yang menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPT) menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa menunjukkan betapa pentingnya kita melahirkan warganegara yang dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan telus.

Dalam konteks ini, sifat amanah dilihat sebagai payung besar yang mempengaruhi tingkah laku dan sikap setiap individu. Secara umumnya amanah bermaksud kepercayaan dan kebiasaannya dirujuk kepada individu yang diletakkan harapan untuk bersifat jujur dan bertanggungjawab. Apabila masalah pecah amanah seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan semakin serius dan berleluasa di negara kita timbul persoalan ke mana hilang nilai amanah dalam diri anggota masyarakat kita.

Ironinya pertambahan mendadak bilangan tangkapan dan kes rasuah yang didakwa di mahkamah membabitkan pelbagai lapisan anggota masyarakat membuktikan negara sedang berhadapan dengan masalah defisit amanah yang cukup serius dan membimbangkan. Anggota masyarakat seolah-olah sudah tidak mementingkan lagi aspek amanah dalam tugasan dan kehidupan harian sebaliknya tanpa segan silu begitu mudah mengkhianati tanggungjawab dan melakukan pecah amanah.

Jika kita membiarkan keadaan ini berterusan, sistem pentadbiran dan perkhidmatan rosak, ekonomi akan musnah, rakyat akan menderita dan akhirnya negara boleh hancur. Begitu dahsyatnya kesan pecah amanah oleh individu yang gagal melaksanakan tanggungjawab.

Hakikatnya situasi di negara kita cukup meruncing apabila ramai yang culas dan tidak melaksanakan amanah yang disandarkan kepada mereka. Dalam banyak situasi sifat tamak dan mahu cepat kaya dengan jalan pintas serta sikap suka mengambil kesempatan di atas kuasa yang diberikan menjadi punca kita hilang pedoman dan lupa amanah yang perlu dilaksanakan. Akibatnya kita mudah hilang pertimbangan antara benar dan salah serta kepentingan diri dengan negara.Justeru, sebelum situasi menjadi lebih parah, anggota masyarakat perlu sedar dan menginsafi kesalahan yang dilakukan seterusnya beriltizam untuk memperkasa nilai amanah dalam diri masing-masing. Dalam konteks ini setiap komponen anggota masyarakat perlu memainkan peranan dan menyedari kepentingan nilai amanah.Penjawat awam misalnya, perlu terus meningkatkan nilai amanah dalam diri kerana isu rasuah yang membelenggu perkhidmatan awam terus menggusarkan rakyat. Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat, namun ada saja penjawat awam yang masih terus terbabit dengan rasuah.Meskipun secara relatifnya bilangan penjawat awam yang terpalit dengan gejala rasuah ini kecil, namun impak pembabitan mereka terlalu besar. Misalnya, menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat serta merugikan ekonomi negara di samping mencemar imej dan nama baik perkhidmatan awam.Walaupun penjawat awam berkhidmat berpaksikan frasa 'saya yang menjalankan amanah' yang ditetapkan sejak 2018, namun masih ada segelintir yang gagal untuk menghayati kata-kata ini. Akibatnya mereka mudah hilang pedoman apabila digoda dengan pelbagai sogokan lantas tergadai nilai amanah yang ada pada diri mereka.Justeru, setiap penjawat awam perlu meneliti semula maksud sebenar frasa terbabit yang mempunyai objektif yang sangat jelas iaitu rela dan berusaha melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa ditentukan dengan penuh gigih, selain ikhlas bagi mencapai matlamat ditetapkan. Di samping itu, ia juga memberi penekanan kepada sifat luhur dan murni, jujur kepada diri, rakan serta organisasi.Selain itu, pemimpin yang dipilih dan diberikan kuasa dan tanggungjawab pula perlu memikul amanah terbabit dengan baik dan betul. Kelompok yang menjadi harapan rakyat ini perlu menjadikan amanah sebagai perisai dan tunjang identiti kepimpinan mereka.Hal ini penting kerana pemimpin akan sentiasa dilihat sebagai suri teladan orang lain. Jadi jika pemimpin beramanah ia akan mencetuskan gelombang amanah dalam kalangan pengikutnya dan begitu juga di sebaliknya. Jadi, setiap pemimpin perlu meletakkan amanah sebagai agenda perjuangan sepanjang masa.Sementara itu, anggota masyarakat juga perlu memiliki nilai amanah yang tinggi kerana dalam banyak situasi, kita menjadi punca rasuah berlaku. Hal ini demikian kerana dek sikap kita yang terlalu mementingkan diri dan mahukan sesuatu, kita mula menyogok pegawai atau mana-mana individu yang ada jawatan dan kuasa. Akibatnya keseluruhan ekosistem operasi perkhidmatan terbabit terpalit dengan rasuah.Jadi, anggota masyarakat perlu buat semakan kendiri terhadap tahap amanah yang dimiliki. Ringkasnya, audit nilai amanah yang kita miliki selama ini. Sewajarnya masalah defisit amanah yang ada pada diri perlu diperkasakan supaya tidak memberi dan menerima rasuah, di samping tidak menggalak mana-mana pihak terpalit dengan gejala rasuah.Pada hakikatnya amanah membabitkan soal sikap dan tingkah laku seseorang individu. Dalam hal ini baik pemimpin, penjawat awam mahupun anggota masyarakat yang lain sebenarnya sentiasa ada pilihan untuk memelihara mahupun menggadai amanah diri masing-masing.Oleh itu, kita perlu bertindak bijak dan membuat pilihan yang betul dengan mengambil kira kesan terhadap diri, keluarga dan negara jika kita pecah amanah. Ingat, amanah bukan komoditi yang boleh dijual beli dan sekali orang hilang kepercayaan terhadap kita, terlalu sukar untuk meraih semula kepercayaan itu.Tuntasnya, siapa pun kita dan apapun kita buat biar berpaksikan nilai amanah. Walaupun perlu akui agak sukar untuk melahirkan negara dan masyarakat yang bebas rasuah sepenuhnya, namun itu bukan alasan kita menjual maruah dan menggadai amanah.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 7:00 AM