UNTUK mendapatkan sijil halal yang sah, pengusaha perlu mematuhi syarat bahawa makanan yang mereka keluarkan atau dijual mesti mengikut hukum syarak. FOTO Arkib NSTP
UNTUK mendapatkan sijil halal yang sah, pengusaha perlu mematuhi syarat bahawa makanan yang mereka keluarkan atau dijual mesti mengikut hukum syarak. FOTO Arkib NSTP
Dr Zalina Zakaria

Imam al-Ghazali mengatakan, puasa adalah asas bagi ibadat dan kunci taqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malah, ketika berbuka puasa, umat Islam dinasihati berbuka puasa dengan makanan halal dan tidak memakan pelbagai juadah mengikut hawa nafsu.

Pada tahun ini, umat Islam di negara ini berpeluang merasai kembali kemeriahan Ramadan, berbanding dua tahun sebelum ini sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) demi membendung penularan wabak Covid-19. Justeru, aktiviti mengimarahkan masjid, termasuk penganjuran bazar Ramadan dibenarkan bermula 1 April lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam menjalani Ramadan dalam norma baharu, keperluan menitikberatkan status halal makanan juga perlu menjadi keutamaan pengguna Muslim. Malah, ia juga seharusnya menjadi keperluan dalam pemilihan kebanyakan produk pengguna yang lain. Ini kerana Islam meletakkan garis panduan penentuan halal dan haram yang jelas dan menjadikannya sebahagian tuntutan ibadat.

Industri makanan halal kini berkembang pesat di peringkat global dan Malaysia antara peneraju pasaran dunia. Industri halal global dianggarkan bernilai AS$2.77 trilion setahun, dengan pasaran Malaysia bernilai AS$9 bilion (hampir RM 40 bilion).

Malaysia juga dikenali sebagai hab industri halal. Selain membangunkan produk halal tempatan, negara bekerjasama dengan syarikat antarabangsa dari negara majoriti bukan Islam untuk membantu membangunkan piawaian halal mereka. Ini kerana piawaian persijilan halal Malaysia menjadi rujukan di seluruh dunia.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, logo halal adalah sesuatu yang biasa ditemui di pembungkusan makanan, malah banyak juga diletakkan di premis makan. Bagaimanapun, lebih daripada itu, ia bukan sahaja simbol yang menjamin umat Islam bahawa apa yang mereka beli adalah suci dan halal, tetapi juga kebimbangan utama bagi perniagaan yang hendak mengembangkan di Malaysia.

Umum mengetahui, proses mendapatkan sijil halal boleh menjadi sangat mencabar terutama bagi perusahaan bersaiz kecil. Kesukaran itu menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat segelintir pengusaha perniagaan akan sewenang-wenangnya meletakkan perkataan 'halal' pada bungkusan mereka atau di pintu masuk premis mereka untuk meyakinkan pengguna Muslim.

Antara kemeriahan Ramadan adalah kewujudan premis menjual juadah berbuka puasa. Ia termasuk bazar Ramadan, food truck dan restoran, malah hotel mewah juga menawarkan sajian istimewa sepanjang bulan ini. Malah, kerap kali ditemui juga premis ini meletakkan perkataan halal, tanpa bukti pensijilan sah yang jelas. Bukan sahaja perkataan halal, malah segala ungkapan lain yang menggambarkan premis mereka ini diiktiraf 'halal', walhal mereka tidak memiliki sijil halal yang sah.

Untuk mendapatkan sijil halal, pemilik atau pengendali perniagaan perlu memenuhi semua keperluan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa halal. Akta Perihal Dagangan 2011 telah digubal dengan tujuan menggalakkan amalan perdagangan yang baik, dengan melarang perihal dagangan palsu dan pernyataan, pengendalian dan amalan. Kepentingan penggubalan akta ini antara lain berpunca daripada kebimbangan terhadap pengeksploitasian penggunaan logo halal oleh pengeluar produk atau premis makanan dengan memerihalkan produk atau premis mereka dengan ungkapan halal tanpa mendapat sijil halal yang sah.

Akta ini melalui perintah di bawahnya iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, mengandungi peruntukan khusus yang memberikan kuasa kepada satu badan sahaja untuk mengeluarkan sijil halal yang sah. Dalam hal ini, pihak yang dimaksudkan adalah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) atau Jabatan Agama Negeri (Jain), dan Majlis Agama Islam Negeri (Main), sebagai pihak berkuasa halal yang dilantik.

Untuk mendapatkan sijil halal yang sah, pengusaha perlu mematuhi syarat bahawa makanan yang mereka keluarkan atau dijual mesti mengikut hukum syarak. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perintah Akta Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Perintah terbabit menetapkan bahawa apabila makanan atau barangan disifatkan sebagai halal atau menggunakan ungkapan lain, itu menunjukkan makanan itu boleh dimakan atau digunakan oleh pengguna Islam kerana disediakan mengikut syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Menjadi keperluan permohonan pensjilan halal bahawa makanan atau barangan itu tidak boleh mengandungi mana-mana bahagian atau bahan haiwan yang dilarang oleh hukum syarak. Bahan larangan ini juga termasuk najis serta tidak beracun dan berbahaya kepada kesihatan. Sama penting adalah kaedah penyediaan dan pemprosesannya yang perlu bebas daripada najis dan kekotoran.

Perlu diingatkan bahawa keperluan halal bukan sahaja meliputi proses penghasilan makanan dan produk, tetapi meliputi pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan bahan mentah serta penyajian dan peruncitan. Jika ingin disifatkan halal, ia membawa maksud perkhidmatan berkaitan juga hendaklah dijalankan mengikut hukum syarak.

Tanpa pensijilan halal yang sewajarnya, penggunaan istilah 'halal' dan apa-apa perkataan berkaitan seperti 'dijamin halal', 'makanan untuk orang Islam', 'bufet Muslim', 'bufet Ramadan', dan lain-lain juga dilarang, kerana ia adalah satu kesalahan mengikut perintah ini dan boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. Bukan sahaja penggunaan kata-kata sedemikian dilarang, tetapi sebarang kelakuan atau representasi menggambarkan sesuatu makanan adalah halal juga tidak dibenarkan. Contoh, representasi atau perlakuan sedemikian ialah penggunaan kalimah al-Quran di premis, bingkai gambar‐ayat suci al‐-Quran,atau apa-apa objek yang berkaitan dengan Islam.

Walaupun halal menjadi dasar sukarela di Malaysia, prinsip pensijilan halal menunjukkan undang-undang masih mengenakan syarat ketat terhadap pensijilan halal. Malah, hukuman bagi kesalahan berkaitan isu pensijilan halal adalah sangat tinggi.

Penulis Pengarah Pusat Kajian Halal Universiti Malaya dan Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 9:30 AM