FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

PAT, kamu buat apa tu. Dah 15 minit aku tengok kamu merenung carta dalam bilik maklumat ni tanpa buat apa pun."

Demikian sergah Ketua Polis Balai, Asisten Superintendan (ASP) Munir kepada seorang sarjan gerakannya apabila dia melihat Sarjan Mamat merenung carta di dalam bilik maklumat dalam masa agak lama.

"Tuan saya ingat mahu pencen la Tuan," balas Sarjan Mamat sambil menerangkan betapa cepatnya masa berlalu dan puas membelek carta tergantung di dinding yang dibuat bukan dengan gabus dan tali kuning lagi, sebaliknya semua menggunakan teknologi terkini sama ada menggunakan 'Power Point' atau lain-lain lagi.

Mahu pecah kepala Sarjan Mamat memikirkannya sedangkan dia tidak 'berlari' seiring dengan teknologi semasa dan masih menggunakan mesin taip dalam pengurusan harian.

Padahal anggota baharu sudah laju menaip dan menggunakan semua aplikasi terkini atau sistem diprogramkan bagi melicinkan pentadbiran atau penugasam harian.

Sambil berbisik pada bosnya, Sarjan Mamat berkata: "Jika mahu belajar semula satu-satu, pasti memakan masa. Sedangkan saya tengok WhatsApp pun jarang-jarang selain tak ada Facebook, TikTok dan Instagram."

Baginya, bukan tidak mahu berlari seiringan dengan masa, tetapi apabila berada dalam barisan pencen ini, reda sajalah dengan apa yang ada.

Kebanyakan orang atau individu sudah otai atau Generasi X memang susah untuk berlari seiringan dengan perkembangan teknologi semasa pada masa sekarang ini. Kadangkala, malu dengan anak yang sangat mahir menggunakan telefon pintar serta komputer riba dengan Internet.

Generasi Y sekarang sangat laju dan sudah zaman mereka hidup bersama telefon pintar dan jika tidak ada Internet, mereka boleh sasau dibuatnya, berbanding Generasi X yang berala kadar sahaja dengan apa yang ada.

Persoalannya dalam organisasi sektor awam dan swasta yang masih tinggal saki-baki generasi X, bagaimana mereka mahu meneruskan perjuangan dalam perkhidmatan jika masih berbaki tujuh atau lapan tahun bekerja jika umur persaraan 60 tahun.

Bagaimana mereka boleh berlari seiring dengan masa walaupun tidak secanggih pekerja baru yang mahir dalam teknologi maklumat atau sebagainya dalam dunia sekarang ini?

Beberapa saranan di bawah boleh dibuat atau dilakukan walaupun tidak akan secanggih mereka yang baru ini, sebaliknya hanya untuk mengetahui perjalanannya dan bergerak bersama sudah memadai.

Saranan ini boleh digunakan walaupun tidak akan secanggih mereka yang dilahirkan dan dibesarkan pada zaman teknologi ini. Cukuplah sekadar mengambil cermin mata kerana mata sudah kabur dan melihat bagiamana ia beroperasi dan dilaksanakan.

  • Cuba minta anak daftar atau buatkan akaun Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya serta bertanya kepada mereka bagaimana ia berfungsi serta peranannya. Bukan bermaksud melayarinya setiap masa, sebaliknya hanya untuk mengambil tahu sahaja dan jika mahir, bolehlah melayarinya.
  • Apabila sudah mahir dan mengetahui fungsi media sosial ini, gunakan komputer riba walaupun memakai kaca mata dan menaip tidak berapa laju.

    Ini boleh menjadi latihan dan lama-kelamaan kita akan dapat menaip dengan laju. Cuba selami sesuatu yang baru dan minta anak atau kawan ajarkan Words, Excell atau Power Point. Bukan untuk terus pandai, sebaliknya asah otak perlahan-lahan supaya boleh menerimanya.

  • Cuba layari YouTube dengan mencari kisah nabi, artikel ilmiah atau sejarah atau gunakan Google untuk melayari laman web berbentuk ilmiah dan sejarah. Pasti akan rasa seronok jika sudah mula mengetahui atau membacanya nanti.
  • Cuba dengar lagu baharu masa kini walaupun tak boleh masuk dengan jiwa, sekurang-kurangnya kita tahu atau kenal penyanyinya dan jika nanti berbual dengan anak, kita boleh sembang kencang seperti 'Bapak pun kenal artis tu.'
  • Peranan ketua atau majikan dengan mengadakan latihan mengenai penggunaan teknologi baru dan aplikasi baharu kepada generasi X agar mereka tahu menggunakannya. Jangan pula bos yang juga Generasi X pun tidak tahu menggunakan teknologi.

    Hantar mereka yang otai ini ke kursus penggunaan komputer walaupun hanya latihan asas sahaja. Ia umpama tuisyen dan kehadiran mereka ke pusat teknologi itu bukan untuk dapat sijil, diploma atau ijazah, sebaliknya hanya untuk memudahkan kerja harian.

  • Pupuk minat terhadap teknologi dengan mengambil tahu bagaimana ia beroperasi dan berkembang melalui bahan bacaan yang ada dan sesekali, cuba baca akhbar dalam talian.

    Banyak ilmu pengetahuan akan diperoleh nanti, cuba secara perlahan-lahan dan jangan paksa diri untuk menyelami dan memahaminya. Jika rasa stres atau gagal, tidak mengapa jika banyak kali kita mencuba dan sedikit demi sedikit akan mengetahui juga nanti.

  • Cubalah sekali- sekala makan di restoran high class dan moden serta lihat cara memesan makanan menerusi telefon pintar. Bagaimana cara imbas bar code pada meja dan melihat menu secara maya. Biar lambat tidak mengapa, sekurang-kurangnya kita tahu perjalanan teknologi itu berfungsi.

    Jangan pula tunggu pekerja datang untuk ambil pesanan, sebaliknya belajar daripada mereka caranya supaya lebih mudah apabila datang lagi.

  • Cuba muat turun aplikasi memesan makanan dan cuba pesan sendiri. Jadi, senang jika hendak makan nasi kerabu misalnya, 20 minit ia sudah sampai tanpa kita perlu bersiap untuk ke kedai. Sekali sekala, tempah perkhidmatan e-hailing untuk ke tempat kerja.
  • Gunakan perbankan dalam talian untuk membayar segala bil atau urusan lain. Buat perlahan-lahan dan minta anak mengajarkan caranya supaya kita senang tanpa perlu ke bank atau Pejabat Pos untuk membayar bil.

    Beli Smart TV dan gunakan kemudahan Internet di rumah dan bersambung dengan telefon pintar untuk membuat panggilan video kepada keluarga yang tinggal berjauhan. Layari segala kemudahan di telefon pintar dengan disambungkan ke televisyen tanpa wayar.

    Semoga kita semua yang di hujung perkhidmatan ini dapat mengambil sedikit ilmu pengetahuan dan berlari seiring dengan keadaan semasa dalam meneruskan bidang pekerjaan atau kehidupan.

    Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:59 AM