APABILA berlakunya kepupusan sifat amanah dalam masyarakat ia sekali gus merupakan tanda-tanda kecil Hari Kiamat. FOTO AFP
APABILA berlakunya kepupusan sifat amanah dalam masyarakat ia sekali gus merupakan tanda-tanda kecil Hari Kiamat. FOTO AFP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Perutusan Islam kepada sekalian warga alam ini membawa mesej pemantapan akhlak Islam di samping menegakkan kalimah tauhid di muka bumi Allah Taala ini. Akhlak dalam Islam mempunyai ruang lingkup yang amat luas sehingga merangkumi setiap detik kehidupan manusia sama ada akhlak dengan Allah, akhlak sesama Muslim dan bukan Muslim, akhlak dengan binatang, akhlak dengan makhluk yang lain dan sebagainya. Ini sejajar dengan ciri-ciri keistimewaan Islam itu sendiri yang bersifat syumul dan universal. 

Antara sifat-sifat yang mendapat kedudukan yang tinggi dalam akhlak Islam ialah sifat amanah. Islam amat menganjurkan umatnya supaya menghiaskan dirinya dengan sifat amanah dan yang paling menariknya sifat amanah dianggap sebagai titik penentu atau garis pemisah kepada tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud: "Tiada iman bagi orang yang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya." (Hadis riwayat Ahmad dan al-Dailami) 

Pengertian hadis di atas dapat disimpulkan orang yang tidak menghiaskan dirinya dengan sifat amanah atau bersifat pecah amanah atau dia tidak dipercayai ramai dalam memikul sesuatu amanah atau berlaku khianat semasa berkhidmat kepada masyarakat adalah orang yang bukannya benar-benar beriman kepada Allah Taala. Ini kerana Islam menuntut umatnya supaya sentiasa beramanah dalam setiap masa dan tempat. Allah Taala berfirman dalam surah al-Nisa', ayat 58 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat."

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memberikan nasihat kepada umat Islam supaya bersifat amanah dalam kehidupan mereka seharian. Sehubungan itu, baginda SAW ada bersabda maksudnya: "Bahawa sifat amanah itu bertunjang di dalam hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan, maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan al-Sunnah." (Hadis riwayat Muslim) 

Perlu ditegaskan di sini, amanah ini sebenarnya mengungkapkan maksud atau pengertian yang amat luas dan mendalam kerana ia bukan sekadar membawa makna bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malahan ia juga turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan dan ia juga turut melibatkan segenap lapisan manusia sama ada pemimpin, rakyat jelata, ibu bapa, anak dan individu Muslim itu sendiri . 

Sehubungan itu, baginda SAW ada bersabda maksudnya: "Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap orang bawahan yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pelindung kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang perempuan di rumah suaminya adalah pelindung dan penjaga yang bertanggungjawab terhadap jagaannya, begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya."  (Hadis riwayat Bukhari) 

Bertolak dari sini, amanah membawa pengertian yang pelbagai sudut berdasarkan kepada tafsiran atau definisinya yang tersurat. Sebagai contohnya, Islam adalah satu amanah yang dahulunya diperjuangkan dan ditegakkan oleh nabi dan rasul yang bersilih ganti dan akhirnya disempurnakan oleh Rasulullah SAW kepada sekalian warga alam ini. Kemudian, amanah Islam tersebut diwarisi oleh setiap insan yang beriman secara umum dan oleh setiap ulama secara khususnya  dalam perjuangan menegakkan panji Islam di muka bumi Allah ini. 

Seterusnya, tubuh badan, akal dan hati juga adalah satu amanah yang wajib dipelihara oleh manusia. Pertamanya, tubuh badan manusia terutamanya pancaindera yang lima seharusnya dipelihara dan dipergunakan untuk tujuan kebaikan dan menepati makna ibadah kepada Allah Taala. Justeru, tubuh sebagai tempat di mana terletaknya hati dan akal wajib dipelihara dan dijaga baik-baik dari segi pemakanannya dan kesihatannya. Dalam masa sama juga, tubuh juga perlu dihindarkan dari kemasukan bahan-bahan sama ada makanan atau minuman yang mengandungi unsur yang haram seperti arak, makanan yang diperoleh dari cara yang haram seperti judi, rasuah dan sebagainya. Rasulullah SAW pernah berpesan dengan sabdanya yang bermaksud: "Daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka neraka adalah lebih baik baginya." (Hadis riwayat Tabrani dan Ibnu 'Asakir)  

Selain itu, kurniaan nikmat yang dianugerahkan Allah Taala kepada setiap Muslim juga termasuk dalam pengertian amanah. Dengan ini, bermakna bahawa segala nikmat kurniaan Allah Taala seperti harta benda, kekayaan, kesihatan, anak pinak dan sebagainya merupakan amanah Allah Taala yang berharga yang sewajibnya dipergunakan dan disalurkan untuk meraih keredaan Ilahi. 

Dalam konteks rumah tangga pula, ibu bapa memikul amanah untuk melangsungkan kesinambungan tradisi keluarganya yang terdiri daripada anak-anaknya di mana ibu bapa bertanggungjawab mengasuh, mendidik dan membesarkan anak-anak mereka dengan tarbiah Islam. Hanya Islam sahaja merupakan perisai atau benteng ketahanan yang jitu dalam mendepani apa-apa jua cabaran dan ancaman yang membadai. Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pengukuhan akidah, pemantapan ilmu Islam dan pengisian akhlak terpuji kepada anak-anak mereka agar mereka kelak merupakan generasi yang bertakwa kepada Allah dan juga bermanfaat kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang. 

Selanjutnya, negara juga menjadi satu amanah atau tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat jelata untuk dibangunkannya dan dimakmurkan selaras dengan landasan syarak. Untuk itu, pemimpin sebenarnya telah memikul satu amanah yang cukup besar lagi getir di dalam pentadbiran mereka di mana mereka berkewajipan untuk bersifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat jelata.

Masyarakat seharusnya dipelihara kebajikan, kerukunan dan kesejahteraan mereka. Oleh itu, seorang pemimpin dilarang mengamalkan dasar nepotisme, kronisme, rasuah dan mengekspolitasi jawatannya serta kedudukannya untuk kepentingan peribadinya. Bahkan, seorang pemimpin juga dilarang mengamalkan dasar pilih kasih atau kerana hubungan kerabat kekeluargaan sebab ia termasuk dalam erti perbuatan khianat yang terlarang.

Baginda SAW telah memberi peringatan yang keras kepada pemimpin seumpama ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa ada melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain yang lebih layak daripadanya di sisi Allah Taala, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang Mukmin seluruhnya." (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim) 

Akhirnya, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umat Islam seluruhnya tentang berlakunya kepupusan sifat amanah dalam masyarakat Islam akan datang yang sekali gus merupakan tanda-tanda kecil Hari Kiamat. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah ditanya: "Bilakah akan berlaku Hari Kiamat?" Jawab baginda SAW: "Apabila sifat amanah hilang , maka tunggulah Hari Kiamat."

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:01 AM