KONFLIK di Gaza menuntut keprihatinan masyarakat dunia.
KONFLIK di Gaza menuntut keprihatinan masyarakat dunia.
Georgie Joseph

CERITA menyayat hati mengenai Gaza yang diserang rejim Zionis Israel sekali lagi mengejutkan dunia baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, kekejaman itu berlaku beberapa hari sebelum umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Serta-merta ia mencetus pelbagai rasa buat kebanyakan orang di seluruh dunia. Marah, geram, sayu, simpati dengan nasib penduduk Gaza sememangnya menjentik rasa kemanusiaan semua.

Lantas, media sosial menjadi medan penting untuk menyalurkan emosi dan rasa itu atas dasar ambil berat. Golongan berpengaruh termasuk selebriti menggembleng tenaga untuk memberi kesedaran dan berkongsi maklumat mengenainya.

Paling menyentuh hati semestinya usaha tidak putus untuk mengumpul dana, doa dan kata-kata sokongan bagi tujuan membantu rakyat Gaza. Setiap platform media sosial tidak sunyi sepanjang 24 jam dengan pelbagai corak hantaran mengenai Palestin.

Bagaimanapun, yang tidak enaknya adalah apabila sesetengah pihak mula mempersoal nama berpengaruh akibat berdiam diri mengenainya. Tidak terkecuali artis yang diharapkan mengguna pengaruh mereka sebaik-baiknya untuk bersuara.

Tidak dinafikan, dalam pada artis lain tidak henti berkongsi mengenainya, ada juga yang tidak berbuat demikian. Sekali gus memberi gambaran mereka barangkali langsung tidak ambil berat mengenai isu itu.

Mungkin ini bukan perkara baharu, tapi tanggapan sebegitu tidak sepatutnya menjadi normal apatah lagi menjatuhkan hukum. Baik artis atau sesiapa, tidak perlu waujud prasangka menuduh mereka tidak ambil berat.

Isu mengenai kemanusiaan dan hak asasi ini tidak akan putus dan sudah lama wujud. Generasi berganti generasi, pasti ada golongan murni yang akan melakukan gerak-gempur memberi kesedaran dan kebaikan.

Tapi bukan semestinya dengan cara bersuara lantang dan berterusan memuat naik perkongsian di media sosial. Hakikatnya, ramai saja yang menggunakan saluran lain, ambil berat dan lakukan kebaikan dalam diam.

Dalam hal ini, semuanya terpulang kepada pendekatan bagaimana yang mereka lebih selesa lakukan. Masing-masing ada cara tersendiri untuk menunjukkan keprihatinan, cumanya tidak nampak di mata kasar.

Contohnya untuk isu penduduk Gaza itu. Saban hari media sosial dibanjiri dengan gambar atau video yang mengajak semua beri perhatian terhadapnya termasuk menyebar kebenaran.

Tidak kurang, ada yang bekerjasama dengan pelbagai organisasi untuk mengumpul derma misalnya bagi disalurkan ke sana. Belum termasuk usahawan atau golongan berpengaruh yang menggunakan jenama mereka memulakan inisiatif itu.

Dari sana, ia membuka mata ramai untuk turut menyebar sesama mengenai berita itu. Memang baguslah kerana mereka peka dan membantu sebaik-baiknya apa yang termampu walaupun sekadar bersuara di media sosial.

Persoalannya, adakah semua yang bersuara itu faham dengan apa diperjuangkan mereka? Sebaliknya, ada segelintir yang seakan-akan cuma mengikut trend kerana tidak mahu ketinggalan demi tunjukkan kebaikan diri.

Ibarat menangguk di air keruh, subjek itu digunakan sebagai modal untuk menjentik orang lain hanya kerana tidak bersuara. Dalam pada berniat baik, akhirnya berprasangka buruk.

Tanpa mereka tahu, sebenarnya golongan yang tidak menunjuk inilah paling rancak menyalur bantuan tanpa perlu hebahan. Golongan yang disangka tidak ambil berat inilah sebenarnya menderma dalam diam.

Dalam apa juga misi kemanusiaan, kita semua tahu apa kepentingan dicari tertakluk kepada niat peribadi. Tidak perlu jatuh hukum kerana cara orang lain tidak sama dengan cara kita.

Kepentingan diri itu tidak semestinya dari segi wang ringgit atau dalam bentuk kekayaan lain yang kita nampak dengan mata kasar. Sebaliknya banyak lagi aspek lain yang boleh diusahakan walau sekecil sumbangan pun contohnya doa.

Bagi golongan yang beramal dalam diam, mungkin pahala saja mereka cari tanpa perlu sekelumit pun hebahan. Bagi yang lantang dan rancak tunjukkan inisiatif mereka, mungkin mahu menjadi contoh bagus di mata ramai.

Jadi, tidak perlu persoal dan jauh sekali jatuh hukum dalam hal ini. Berbahagilah melakukan kebaikan dengan cara sendiri tanpa perlu membandingkan diri dengan orang lain. Ini kerana pada pengakhirannya cuma satu, iaitu niat sebenar.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 5:59 AM