RATU Elizabeth bersama Putera Philip.
RATU Elizabeth bersama Putera Philip.
minda

Putera Philip meninggal duniapada 9 April lalu pada usia 99 tahun. Seperti mana permintaannya, beliau menghembuskan nafas terakhir di Istana Windsor, London.

Philip adalah pasangan paling lama bagi mana-mana raja atau ratu United Kingdom. Beliau berkahwin dengan Ratu Elizabeth II selama 73 tahun dan menjadi pasangan kepada ratu selama 69 tahun 62 hari. Hanya pada 2017, Philip yang ketika itu berusia 95 tahun mengumumkan untuk mengundurkan diri daripada tugas diraja.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa Philip mempunyai sejarah hidupnya yang berwarna-warni sebelum bertemu Elizabeth. Ramai mengetahui bahawa Philip dilahirkan di Greece. Tetapi, sebenarnya beliau mempunyai darah diraja Greece dan Denmark di samping mempunyai pertalian dengan keluarga diraja Rusia dan Jerman.

Bagi peminat siri The Crown di Netflix, pastinya sudah dapat membayangkan kisah hidup putera raja ini. Ia sedikit sebanyak merungkai mengenai keturunan putera itu yang sering menjadi tanda tanya kepada banyak pihak.

Persoalannya, siapa Philip sebelum beliau bertemu Elizabeth? Ramai yang hanya mengetahui bahawa lelaki itu dilahirkan di Greece. Pada usia hanya 18 bulan, dia diletakkan dalam kotak oren untuk diseludup keluar dari Greece. Ia selepas keluarga diraja Greece digulingkan oleh junta.

Menurut The Guardian, Philip sebenarnya mempunyai darah diraja yang sebenarnya lebih 'kuat' berbanding Elizabeth. Ia boleh dilihat menerusi susur galur putera berkenaan. Ia memandangkan sudah menjadi amalan keluarga diraja di negara Eropah yang gemar menjodohkan anak mereka atas pelbagai sebab termasuk diplomatik.

Bapa Philip, Putera Andrew dari Greece adalah anak keempat George I. Bapanya adalah Putera Wilhelm dari Denmark yang dilantik sebagai Raja Greece, susulan protokol ditandatangani antara England, Perancis dan Rusia. Bagaimanapun, George I meninggal dunia akibat dibunuh.

Adik Andrew pula, Raja Constantine I digulingkan oleh junta selepas kekalahan teruk Greece kepada orang Turki pada perang Asia Kecil pada 1922. Andrew kemudian didakwa atas tuduhan khianat, dipenjara dan dihukum mati sebelum melarikan diri bersama keluarganya untuk tinggal di Paris. Mungkin sebab itu Philip tidak pernah merasakan mempunyai pertalian yang kuat dengan Greece.

"Saya tidak pernah merasakan begitu nostalgia mengenai Greece. Datuk saya dibunuh, bapa dijatuhkan hukuman mati tidak menyebabkan saya senang dengan mereka yang menyebabkannya," kata Philip seperti dilaporkan The Guardian.

Lebih ramai juga mengenali Philip dengan gelaran rasmi Duke of Edinburgh. Namun, gelaran diraja yang diwarisinya daripada sebelah keluarga diraja Denmark adalah lebih sukar disebut iaitu Schleswig-Holstein-Sonderburg- Glucksburg, manakala bapanya pula mempunyai keturunan daripada keluarga diraja Rusia.

Ibu Philip, Puteri Alice juga dilaporkan memiliki sejarah hidup yang amat sedih. Kisahnya diangkat siri The Crown apabila puteri yang mempunyai masalah pendengaran ini kemudian menjadi rahib. Hakikatnya, Alice sebenarnya adalah anak Putera Louis dari Battenberg, Jerman. Louis pada 1917 'menukar' gelaran Jerman itu kepada gelaran Inggeris iaitu Mountbatten.

Nenek Louis adalah Puteri Victoria dari Hesse, Jerman yang juga cucu Ratu Victoria iaitu Ratu United Kingdom.

Justeru, pertikaian mengenai kewarganegaraan Philip pernah hangat diperdebatkan ketika lelaki itu mahu m engahwini Elizabeth. Namun, semuanya hanya terjawab pada 1972 apabila Lord Dilhorne dalam satu surat kepada bapa saudara Philip iaitu Lord Mountbatten. Antaranya, Dilhorne menyatakan berdasarkan akta Parlimen pada 1705, semua waris kepada Electress Sophia Hanover (termasuk Philip, menerusi pertaliannya dengan Ratu Victoria) adalah rakyat Britain.

Jadi, Philip - meskipun dilahirkan di Greece dengan keturunan Denmark (sebelah bapa) dan Jerman (sebelah ibu), - beliau secara semula jadinya dianggap sebagai orang Inggeris juga.

Penulis Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 7:00 AM