ANDERS TEGNELL
ANDERS TEGNELL
Syah Rul Aswari Abdullah


KETIKA negara lain terutama di Eropah bergelut dengan peningkatan jumlah kes dan menguatkuasakan 'perintah' lockdown, Sweden dilihat mengambil pendekatan lebih ringan. Ia membenarkan sekolah, gimnasium, kafe, bar dan restoran dibuka. Bagaimanapun, pihak berkuasa menggesa rakyatnya supaya bertanggungjawab dengan menjadikan bekerja dari rumah sebagai keutamaan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Ketika artikel ini ditulis, Sweden merekodkan 24,623 kes positif Covid-19 dan 3,040 kematian. Sebagai perbandingan, berdasarkan Worldometer, kadar kematian untuk setiap 1,000,000 penduduk di negara itu adalah 301, lebih tinggi berbanding 40 di Norway, Denmark (80) dan Findland (46). Semua negara ini terletak di rantau sama.

Bagaimanapun, menurut AFP, angka itu masih rendah jika dibandingkan dengan United Kingdom (443), Itali (491) dan Sepanyol (558). Ketiga-tiganya adalah negara di Eropah yang paling terjejas akibat penularan Covid-19.

Tidak jelas sama ada strategi diambil oleh Sweden ini adalah pendekatan terbaik. Sebaliknya, kerajaannya berpendapat bahawa terlalu awal untuk membuat kesimpulan berkenaan. Bagaimanapun, melihat kepada impak ekonomi terhadap negara yang melaksanakan perintah lebih drastik, pendekatan Sweden dilihat sebagai model alternatif kepada dunia bagi memerangi Covid-19.

Bloomberg yang memetik laporan media tempatan melaporkan ahli epidemiologi Sweden yang dikatakan menjadi 'arkitek' kepada langkah berkenaan, Anders Tegnell berkata, pendekatan melawan arus yang diambil negara itu sudah menunjukkan kejayaan pada pertengahan April.

Beliau berkata, langkah berkenaan menyumbang kepada kadar jangkitan yang stabil pada bulan berkenaan.

Sebahagian besar daripada pendekatan Sweden adalah kerana keyakinan negara itu pada sistem kesihatannya yang dianggap antara terbaik di dunia. Sepanjang penularan wabak itu, pihak berkuasa tidak pernah mengalami masalah kekurangan peralatan perubatan atau kekurangan katil bagi menempatkan pesakit virus itu. Khemah dibuka di fasiliti kesihatan di seluruh negara bagi menempatkan pesakit Covid-19 juga dikatakan hampir kosong.

Pendekatan yang diambil kerajaan negara itu menyebabkan ramai pihak melemparkan kritikan dari dalam negara dan pada peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, pihak berkuasa tetap tidak berganjak dengan pendirian untuk tidak mengumumkan langkah drastik seperti lockdown.

Biarpun berdepan kritikan, kerajaan Sweden berpandangan bahawa langkah diambil adalah bersifat jangka panjang. Ia mengelak daripada mengambil langkah drastik bersifat sementara yang dianggap sukar untuk melihat keberkesanannya pada masyarakat.

Dalam pada itu, penyelidik ekonomi di HSBC Global Research, James Pomeroy pula berpendapat bahawa pendekatan Sweden akan memberi kesan lebih ringan terhadap pertumbuhan ekonomi negara itu.

"Sehubungan itu, lebih mudah untuk negara berkenaan memulihkan ekonominya berbanding negara Eropah lain yang mengamalkan dasar lebih ketat dalam memerangi penularan Covid-19," katanya seperti dilaporkan Bloomberg.

Pomeroy berpendapat situasi sosial yang unik di negara dengan populasi 10.3 juta itu juga menjadi antara faktor yang membantu menjadikan pelaksanaan perintah kerajaan berhubung Covid-19 menjadi lebih mudah. Lebih separuh daripada isi rumahnya dikatakan seorang, menjadikan lebih mudah untuk penduduk mematuhi penjarakan sosial.

Selain itu, rakyat Sweden antara paling ramai berbanding penduduk di negara Eropah lain, yang bekerja dari rumah. Ini diperkuat dengan akses Internet yang berkelajuan tinggi, menyebabkan lebih mudah untuk individu bekerja secara produktif meskipun berada di rumah.

Pada masa sama, keberkesanan langkah menangani penularan Covid-19 di negara itu juga sebahagian besarnya disumbangkan oleh disiplin penduduknya. Jika kerajaan lain terpaksa mengenakan hukuman penjara dan denda tinggi bagi individu ingkar perintah berkurung dan penjarakan sosial, rakyatnya pula tidak dikenakan apa-apa penalti jika melanggar perintah kawalan. Ia bergantung sepenuhnya kepada kesedaran dan tanggungjawab individu.

Apa yang menariknya, data menunjukkan rakyatnya mematuhi gesaan kerajaan untuk mengamalkan penjarakan sosial dan berada di dalam rumah. Berdasarkan statistik dalam talian Citymapper, terdapat pengurangan mobiliti atau pergerakan di ibu negara itu sehingga 75 peratus.

Dalam apa jua situasi, setiap negara berhak melaksanakan langkah yang difikirkan terbaik dan sesuai untuk menyelesaikan krisis seperti pandemik Covid-19. Namun, pengajaran terbesar yang kita peroleh daripada Sweden adalah pendekatan drastik atau ringan tidak menjamin keberkesanan usaha memerangi wabak itu. Tetapi, pada akhirnya, semua bergantung kepada disiplin rakyat itu sendiri untuk mematuhi peraturan pihak berkuasa bagi mempercepatkan virus itu lenyap dalam komuniti.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:00 AM