SUEDE antara band Britpop paling berpengaruh.
SUEDE antara band Britpop paling berpengaruh.

PEMINAT muzik Britpop di sini pasti tidak sabar dengan kehadiran salah satu ikon Britpop iaitu Suede yang mengadakan konsert The Suede Live in Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Ogos depan.

Suede atau dikenali sebagai The London Suede di Amerika Syarikat (AS) diiktiraf sebagai antara band Britpop paling berpengaruh seiring dengan Oasis, Blur dan Pulp.

Britpop adalah antara cabang muzik rock alternatif yang bermula di United Kingdom (UK) dan cukup popular pada era 1990-an.

Ia seiring dengan muzik grunge Amerika yang lebih berat dan 'dark'. Namun, Britpop dilihat lebih ringan dan 'mesra pendengar' buat peminat yang tidak meminati muzik berat 'distortion'.

Suede yang ditubuhkan di London pada 1989 dan kini dianggotai Brett Anderson (penyanyi), Neil Codling (keyboard), Simon Gilbert (dram), Richard Oakes (gitar) dan Mat Osman (bass) pertama kali mengadakan konsert di negara ini.

Album sulung mereka, Suede pada 1993 yang menggabungkan genre pop dan punk dengan glam rock mengungguli Carta Album UK dan memenangi Mercury Music Prize. Ia diberikan kepada album terbaik yang dipasarkan di UK dan Ireland.

Suede dikenali ramai kerana keunikan suara dan wajah Anderson, selain gabungan muzik British pop era 1960-an, glam rock, punk era 1970-an dan indie pop era 1980-an yang membuatkan muzik mereka lebih luas dan segar.

RAMAI peminat di Malaysia.
RAMAI peminat di Malaysia.

Album ketiga berjudul Coming Up pada 1996 menjadi album mereka yang paling laris dan berjaya. Ia bukan saja mengungguli Carta Album UK, tetapi Suede berjaya mengumpul peminat di seluruh dunia termasuk AS, Eropah dan Asia.

Sejak ditubuhkan, Suede memiliki sembilan album studio termasuk album terbaharu, Autofiction pada 2022.

Album kelima, A New Morning pada 2002 agak mengecewakan dan dikritik hebat. Setahun selepas itu, Suede dibubar dan 'ditidurkan'. Pada 2004, Anderson bergabung dengan bekas pemain gitar Suede, Bernand Butler menubuhkan The Tears.

Namun, dua tahun selepas itu Anderson beralih kepada kerjaya solo.

Pada 2010, Suede mengadakan 'reunion' dan mengadakan beberapa siri konsert. Tiga tahun selepas itu, Suede melahirkan album keenam, Bloodsports. Ia diterima baik dan disenaraikan dalam 'top 10' Carta Album UK.

Album ketujuh, Night Thoughts pada 2016 turut dipuji dan lebih dikenali berbanding album sebelumnya.

Album kelapan mereka, The Blue Hour yang dipasarkan pada September 2018 menjadi album pertama menduduki carta lima terbaik selepas album Head Music.

Suede kemudian kembali mengadakan konsert jelajah dunia termasuk di Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura dan beberapa negara Eropah.

November tahun lalu mereka mengadakan konsert di Singapura bersama Manic Street Preachers.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 6:30 AM