AMAN Nassim
AMAN Nassim
Amirul Haswendy Ashari

Belum terlambat buat pelakon yang kini bergelar penyanyi, Aman Nassim, 29, berkongsi serba sedikit mengenai sambutan Syawalnya tahun ini.

Anak jati Johor Bahru ini baru sahaja pulang ke ibu kota pada Jumaat lalu selepas hampir dua minggu bercuti menyambut Aidilfitri di kampung halamannya.

“Tahun ini menariknya dapat bercuti awal iaitu seminggu sebelum raya sebab mahu habiskan masa bersama keluarga. Maklumlah, sejak bebeapa bulan lalu saya sibuk dengan penggambaran dan bisnes.

“Selalunya saya akan balik sehari atau dua hari sebelum raya tetapi kali ini saya pasang niat mahu pulang seminggu lebih awal,” katanya.

Tanpa berselindung Aman mengakui pengisian raya kali ini tetap sama apatah lagi sejak kehilangan ibu tersayang akibat kanser 13 tahun lalu masih berbekas di hati.

Perasaan sedih itu bagaimanapun disembunyikannya kerana masih ada ahli keluarga lain yang perlu digembirakan.

Katanya, selagi hayat dikandung badan dia perlu menggembirakan hati mereka terutama bapa dan abangnya.

Perkembangan lain, Aman bersyukur apabila kerjaya seninya semakin rancak tahun ini.

Terbaru, dia baru sahaja habis penggambaran filem Ratu Kalajengking memegang watak pembantu dan terbabit sebagai pelakon undangan dalam drama Halalkan Hati Yang Kau Curi untuk slot Akasia TV3.

Dia juga berdebar menantikan reaksi peminat terhadap drama Yes Sir, Nak Ke Mana? yang disiarkan di saluran Hypp TV.

“Ada beberapa tawaran drama yang saya terpaksa tolak sebab kekangan masa dan bertembung dengan projek lain.

“Pun begitu, saya dalam persiapan untuk melancarkan single ketiga yang dijangka keluar minggu ini,” katanya.

Anak saudara penyanyi popular 90-an, Salwa Abdul Rahman ini berkata ada dua lagu baru dalam simpanan yang bakal dilancarkan.

Satu lagu berentak balada manakala satu lagu berentak rancak, cuma belum membuat keputusan mana satu yang akan dilancarkan terlebih dulu.

“Single pertama dulu, Cinta Pura Pura berentak pop balada, manakala kedua, Tunjukkan Ku Bintang pula berentak pop.

“Pada masa ini saya terfikir mahu gunakan lagu baru untuk runut lagu (OST) drama seterusnya,” katanya.

Aman menganggap penghasilan lagu untuk OST adalah satu teknik pemasaran yang sangat berkesan.

Ujarnya, andai lagu yang dimainkan di radio tempatan, lagu itu masih mempunyai peluang berkumandang di televisyen.

Disebabkan itu, dia tidak kisah dilabel penyanyi lagu OST kerana percaya kembara setiap anak seni berbeza.

“Saya akui, mungkin lagu-lagu nyanyian saya ambil masa untuk dimainkan di radio kerana tidak sepopular penyanyi lain.

“Pun begitu, ada beberapa peminat dan penggemar muzik sudah kenal lagu nyanyian saya tapi biasalah, tak semua suka menonton drama atau dengar radio tetapi apabila dua medium ini bergabung mungkin membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 1:18 AM