Mark Adam
Mark Adam
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Bapa mentua penyanyi dan pelakon, Mark Adam iaitu Redzuan Abdul Malik meninggal dunia, malam tadi.

Mark atau nama sebenarnya, Fikri Mark Adam Abdullah, 45, berkata, bapa mentuanya itu menghembuskan nafas terakhir selepas waktu berbuka puasa.

"Assalammualaikum semua, sedekahkan Al- Fatihah buat ayah mentua saya yang telah pergi mengadap ilahi selepas berbuka tadi (semalam)," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram, malam tadi.

Dalam perkongsiannya juga, Mark turut memuat naik video kenangan ketika Allahyarham bapa mentuanya itu sedang makan.

Bagaimanapun, Mark dan isterinya, Norazah Redzuan tiada bersama ketika Allahyarham meninggal dunia semalam.

Dalam perkongsian sebelumnya, Mark dan isterinya memberitahu mereka berada di Singapura kerana menyertai festival jualan raya di sana.

Perkongsian Mark mengenai pemergian bapa mentuanya itu mendapat perhatian dari pengikutnya yang turut menitipkan ucapan takziah di laman sosial.

Terdahulu, Mark sering berkongsi keadaan bapa mentuanya yang sudah uzur dan terpaksa menggunakan kerusi roda di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 12:50 PM