GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Najiy Jefri 


Kuala Lumpur: Pempengaruh TikTok yang juga perunding pengurusan acara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM237,370 berhubung penganjuran konsert Goyang Asli Koplo Milenia tahun lalu.

Tertuduh, Rabiatul Addawiyah Izzaddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Rabiatul didakwa memgambil wang milik syarikat Mission Sight Sdn Bhd berjumlah RM237,370. Ia bagi menguruskan konsert Goyang Asli Koplo Milenia tahun lalu, namun tertuduh gagal berbuat demikian dan menggunakan wang terbabit bagi kegunaan sendiri yang mana wang diambil bukan miliknya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Bernard Francis memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil.

"Kesalahan ini lazimnya dapat dijamin dan anak guam saya memiliki empat anak berusia antara tiga hingga lapan tahun.

"Selain itu, tertuduh dan suaminya juga difahamkan memiliki tahap kewangan yang rendah dan suami dimaklumkan baru  diisytiharkan muflis serta sudah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis," katanya. 

Rabiatul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. 

Mahkamah juga menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula.

Terdahulu pada Julai tahun lalu, media melaporkan pelakon, Riezman Khuzaimi membuat laporan polis terhadap perunding yang dilantik mengendalikan Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia atas dakwaan menipu membabitkan kerugian mencecah RM300,000.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn Bhd selaku penganjur itu berkata, berikutan masalah dicetuskan, pihak terpaksa menganjakkan tarikh serta menukar lokasi konsert selain meneruskan kerja yang tidak dilunaskan pihak terbabit hingga meningkatkan kos asal.

Katanya, laporan dibuat di Balai Polis Brickfields pada 14 Jun lalu selepas menyedari banyak kepincangan terutama membabitkan bayaran tempahan lokasi konsert serta permohonan permit kemasukan penyanyi Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:57 AM