SHIORI Ito mendakwa dirogol Yamaguchi selepas makan malam bersama pada 2015 dan menuntut suspek membayar pampasan sebanyak 11 juta yen (RM414,280). FOTO AFP
SHIORI Ito mendakwa dirogol Yamaguchi selepas makan malam bersama pada 2015 dan menuntut suspek membayar pampasan sebanyak 11 juta yen (RM414,280). FOTO AFP
AFP

TOKYO: Sebuah mahkamah di sini mengarahkan bekas wartawan televisyen Noriyuki Yamaguchi membayar pampasan sebanyak 3.3 juta yen (RM124,284) kepada mangsa rogol yang juga seorang wartawan.

Dua tahun lalu, Shiori Ito mendakwa dirogol Yamaguchi selepas makan malam bersama pada 2015 dan menuntut suspek membayar pampasan sebanyak 11 juta yen (RM414,280).

Ito menuduh Yamaguchi memberinya dadah dan mendakwa polis gagal membuat ujian untuk mengesan bahan itu dalam badannya.

“Ketika tersedar, saya berasa sangat sakit dan mendapati suspek berada di atas saya.

“Saya berada dalam bilik sebuah hotel dan sedar apa yang berlaku, namun tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa polis mengambil masa beberapa minggu untuk melakukan siasatan dan turut memberitahunya akan menahan Yamaguchi, namun menarik balik siasatan.

Yamaguchi yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Shinzo Abe menafikan tuduhan Ito dan memfailkan pampasan menuntut 130 juta yen terhadap wanita itu.

Kes sivil itu menjadi topik utama di Jepun dan juga luar negara berikutan mangsa rogol dikatakan jarang membuat laporan polis di negara itu.

Data kerajaan pada 2017 mendedahkan hanya empat peratus mangsa rogol tampil membuat laporan polis di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 12:10 PM