ITO Blues Gang. FOTO Arkib NSTP
ITO Blues Gang. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur : "Ito lain yang meninggal dunia, bukan saya," kata penyanyi Blues Gang, Ito Mohd, 70, mengenai khabar angin mengatakan dia meninggal dunia yang tular sejak semalam.

Ito ketika dihubungi berkata, kebetulan individu yang meninggal dunia juga bernama Ito dan tinggal di Durian Tunggal, Melaka.

Ito atau nama sebenarnya Mohd Arif Kendut berkata, kejadian itu tidak disengajakan apabila terdapat individu yang bernama Ito meninggal dunia.

"Arwah juga dikenali ramai dengan panggilan Ito. Mukanya pun iras-iras saya. Jadi apabila keluar berita ini, orang ingat saya yang meninggal dunia. Saya pun tak pernah jumpa arwah, tapi memang dah lama tahu mengenai dia," katanya kepada Harian Metro.

Ito berkata, dia menerima banyak panggilan telefon dan mesej WhatsApp daripada pelbagai pihak semalam bertanyakan kesahihan perkara itu.

Berita itu tersebar meluas menerusi media sosial sejak semalam sehingga membuatkan Ito membuat kenyataan menerusi Facebook.

"Apabila tular kata Ito Blues Gang meninggal, ia terus jadi heboh. Saya tak marahkan mana-mana pihak kerana ini hanya salah faham," katanya.

Menurutnya, dia tiada apa-apa masalah berkenaan perkara ini dan memilih untuk membuat penafian menerusi media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 6:17 PM