AKSI bersahaja dalam filem Now You See Me 2. - FOTO Google
AKSI bersahaja dalam filem Now You See Me 2. - FOTO Google
Norhayati Nordin


SEPANJANG Ogos ini, TV3 menyiarkan empat filem pecah panggung terbaik, berkualiti dan kesukaan penonton pada setiap Ahad, jam 9 malam.

Filem yang disusun khas ini juga pernah dicalon dalam majlis anugerah serta merangkul kemenangan di acara berprestij seperti People's Choice Awards, Asian Film Awards, International Indian Film Academy (IIFA) dan Zee Cine Awards.

Bermula malam minggu ini, disiarkan filem Now You See Me 2 yang mengisahkan sekumpulan ahli silap mata iaitu The Four Horsemen dan seorang anggota FBI cuba merungkai beberapa kes misteri.

Mereka berhadapan dengan masalah sebaik tiba di Macau. Ejen FBI Dylan (Mark Ruffalo) ingin mencari jawapan kepada kematian bapanya, Liona Shrike yang mati ketika membuat pertunjukan silap mata.

Dia mengesyaki Thaddeus Bradley (Morgan Freeman) menjadi penyebab kepada kematian bapanya. Pada masa sama, kumpulan ini cuba menyelesaikan kes kecurian yang berlaku 30 tahun lalu dan membabitkan anak Arthur Tressler iaitu Walter Mabry (Daniel Radcliffe).

Diikuti seterusnya, tayangan filem Bajirao Mastani pada 15 Ogos depan.

Filem epik romantis sejarah ini memenangi pelbagai anugerah dan dibintangi barisan pelakon hebat.

Antara kemenangan dikecapi Bajirao Mastani ialah Anugerah Filem Asia 2016, International Indian Film Academy 2016 (IIFA) dan Filmfare Award.

Bajirao Mastani mengisahkan cinta tiga segi antara perdana menteri dari empayar Maratha pada kurun ke-18 iaitu Bajirao (Ranveer Singh), isteri pertama Kashibai (Priyanka Chopra) dan isteri kedua Mastani (Deepika Padukone).

JACKIE dalam filem The Foreigner. - FOTO Google
JACKIE dalam filem The Foreigner. - FOTO Google

SALAH satu babak dalam filem Helios. - FOTO Google
SALAH satu babak dalam filem Helios. - FOTO Google

Mastani, seorang wanita cantik dan cekal, sentiasa menyertai peperangan yang dipimpin suaminya. Kelebihan yang dimiliki Mastani membuatkan Bajirao memberikan lebih perhatian kepadanya dan menimbulkan perasaan iri hati Kashibai.

Pada 22 Ogos depan ditayangkan filem The Foreigner. Ia dibintangi pelakon Jackie Chan yang muncul melakonkan watak berbeza daripada filem-filemnya sebelum ini.

Dalam The Foreigner, Jackie bekerjasama dengan pengarah terkenal Martin Campbell. Filem ini mengisahkan Quan Ngoc Minh (Jackie) nekad membalas dendam atas kematian anak perempuannya, Fan (Katie Leung) berusia 15 tahun akibat serangan bom pengganas di kota London.

Quan yang juga bekas tentera Vietnam dan berbekalkan pengalaman, berusaha menjejak pengganas dengan cara sendiri selepas tidak mendapat kerjasama daripada Timbalan Menteri Ireland, Liam Hennessy (Pierce Brosnan).

Bagi tayangan 29 Ogos depan pula, filem thriller jenayah, Helios yang menggabungkan pelakon dari Hong Kong, China, Taiwan dan Korea Selatan akan menemui penonton.

Kisah filem ini bermula apabila polis mencari penjenayah paling dikehendaki iaitu Helios (Chang Chen) dan pembantunya, Messenger (Janice Man) kerana merampas peranti nuklear untuk dijual dalam pasaran gelap di Hong Kong.

Kegiatan itu akhirnya menimbulkan krisis antarabangsa. Pasukan kecemasan ditubuhkan dan dianggotai beberapa pakar dari tiga negara iaitu China, Hong Kong dan Korea Selatan.

Antara pakar dipilih itu ialah Ketua Inspektor Eric Lee Yan-Ming (Nick Cheung) dari Unit Tindak Keganasan, pegawai kanan Song An dari China (Wang Xueqi) dan dua pakar senjata Korea Selatan Choi Min-ho (Ji Jin-hee) dan Park Woo-Cheol (Choi Siwon).

Kes ini turut dibantu profesor fizik Siu Chi-yan (Jacky Cheung) dari Universiti Hong Kong yang bertindak sebagai penasihat khas untuk operasi terbabit. Mampukah dalang dalam kegiatan itu ditumpaskan?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 6:49 AM