Gambar kenangan Nurain Najieha (kanan) bersama bapa tersayang, Md Adnan (tengah) dan kakak sulungnya. FOTO IHSAN NURAIN NAJIEHA MD ADNAN
Gambar kenangan Nurain Najieha (kanan) bersama bapa tersayang, Md Adnan (tengah) dan kakak sulungnya. FOTO IHSAN NURAIN NAJIEHA MD ADNAN
Noor Hidayah Tanzizi


Pekan: "Angah jangan nangislah, ayah kuat". Itu ungkapan terakhir ayah tersayang yang masih diingati Nurain Najieha Md Adnan sebelum lelaki itu dihantar ke wad dan ditidurkan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 27 Jun lalu.

Bapa Nurain Najieha, 18, Md Adnan Ibrahim, 47, meninggal dunia di Hospital Temerloh selepas demam dan paru-parunya dijangkiti kuman, paras oksigen menurun sebelum ditidurkan dan kemudiannya disahkan mempunyai tyroid.

Kisah itu juga mendapat perhatian di TikTok apabila Nurain Najieha berkongsi video yang meraih 3.7 juta tontonan dan meruntun hati netizen mengenai bapanya yang memintanya supaya kuat dan tidak menangis dengan hanya dibalas tangisan remaja itu yang sedih mengenangkan keadaan bapa.

Menurutnya, dia sempat bertemu bapa ketika mendapatkan rawatan di zon kecemasan sebelum Md Adnan dibawa ke wad khas.

"Ayah sakit tak lama asbab demam selama empat hari sebelum hari kelima iaitu Ahad (25 Jun) arwah dihantar ke hospital, sehari selepas itu ditidurkan dan kemudiannya Selasa selepas waktu Maghrib ayah disahkan meninggal dunia.

"Ketika di zon merah saya sempat temankan ayah sekejap. Ayah tak bagi saya menangis dan cakap dia kuat biarpun ketika itu arwah menggunakan bantuan oksigen paling tinggi dan ayat terakhirnya itu masih diingati sehingga kini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, walaupun bapa yang berkerja sebagai pemandu lori sudah berpisah dengan ibunya, namun hubungan mereka masih kekal baik dan kerap berjumpa serta sentiasa bertanya khabar.

"Kehidupan kami sederhana saja tetapi ayah tak pernah berkira, dia bapa yang baik dan penyayang, setiap hari akan tanya khabar kami, malah setiap minggu akan ziarah kami dari Temerloh ke Chini Timur dan berusaha penuhi keperluan anaknya walaupun dia sendiri bukan orang senang sangat.

"Ayah juga sempat minta maaf pada kami jika dia tidak mampu menjadi ayah yang terbaik tetapi bagi saya dia lelaki terbaik dalam hidup kami," katanya akan tunaikan pesan bapa yang minta menjaga keluarga dengan baik.

Pembantu kedai kasut itu berkata, dia dan adik beradik reda dengan pemergian bapa tersayang, namun kehilangan itu turut membawa separuh semangatnya pergi dan sehingga kini dia seperti tidak percaya lelaki itu sudah meninggalkannya.

"Pemergian ayah membuatkan diri saya yang lama turut hilang kerana saya paling rapat dengan arwah dan kami berkongsi semua cerita. Walaupun berjauhan, kalau saya ada masalah mesti cari ayah dan arwah selalu beri semangat," katanya.

Berhubung video TikToknya, remaja itu berkata, dia baru mempunyai kekuatan berkongsi video mengenai bapanya dan dia hanya mahu menyimpan kenangan saja, malah tidak menyangka ia meraih jutaan tontonan.

"Saya tiada niat mahu kejar 'like' atau 'view' tetapi bersyukur juga sebab banyak komen mendoakan arwah ayah dan kami berterima kasih untuk itu. Semoga semua doa itu diangkat Allah SWT dan ayah tenang serta bahagia di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 3:12 PM