AFDLIN teruja menantikan kehadiran filem arahannya, Harimau Malaya: The Untold Journey.
AFDLIN teruja menantikan kehadiran filem arahannya, Harimau Malaya: The Untold Journey.
Syafil Syazwan Jefri


Pertembungan antara filem dan sukan bukan lagi perkara baharu memandangkan filem sentiasa menjadi medium terbaik untuk mengangkat kisah berlatarbelakangkan sukan.

Terbaharu, filem Harimau Malaya: The Untold Journey (Harimau Malaya) terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd bakal menggegarkan pawagam seluruh negara pada Jun depan.

Pengarahnya, Datuk Afdlin Shauki berkongsi keterujaannya mengarahkan filem yang penuh cabaran ini, sekali gus mengambil inspirasi daripada peristiwa bersejarah dalam arena bola sepak tanah air.

"Untuk cipta drama tertentu dalam filem ini, kami kena ambil lesen artistik. Jadi, kami mengambil keputusan fiksyenkan karakter.

"Kita kalau nak buat filem mengenai naik turun kehidupan seseorang individu, mungkin sensitif kepada sesetengah orang.

"Jadi, kami wujudkan karakter fiksyen dan naik turunkan kehidupannya serta masalah yang dihadapinya. Macam pemain bola sepak, masalah paling besar adalah mental bukan skil," katanya.

Tambah Afdlin, perkara itu terpaksa dilakukan kerana mustahil untuk seseorang pemain bola sepak tampil berkongsi permasalahan yang berlaku dalam kehidupan nyata mereka.

"Mental ini, kalau mereka ada masalah di rumah dan sebagainya. Takkan ada pemain bola se

pak akan buka cerita kepada kita mengenai masalah peribadinya.

"Jadi, kami cipta karakter dan andaikan bahawa dia sebagai pemain bola sepak ada masalah dengan keluarga dan itu mengganggu mentalnya. Dia boleh jadi lebih bagus.

"Itu maksud saya bila saya cakap mengenai karakter fiksyen, tapi diinspirasikan daripada kisah nyata," katanya.

Di samping watak fiksyen, Afdlin tetap menyelitkan karakter nyata di samping pelbagai peristiwa bersejarah yang tidak diubah.

"Macam cerita perjalanan dan keputusan yang dibuat itu adalah keputusann yang betul dibuat.

"Cuma karakter itu kami ambil lesen artistik sikit untuk memberi sentuhan drama, komedi dan mencantikkan cerita itu.

"Karakter Jurulatih Kim dalam cerita ini adalah berdasarkan watak Jurulatih Kim Pan Gon. Jadi, kami berjumpa dengannya, mewawancaranya dan bercakap dengannya.

"Dia adalah seorang yang sangat menjaga privasi. Jadi, kami kena buat andaian, tapi tak boleh terlalu berlebihan sebab nanti tak betul pula. Jadi, kami buat karakter itu berdasarkan pemerhatian," katanya.

Selain itu, Afdlin juga menggambarkan jadual yang 'gila' sebagai cabaran di samping skrip yang tidak dapat dipotong kerana kekangan waktu.

"Latar masanya adalah sehingga kita layak ke Piala Asia sebab kita tak layak dah 42 tahun. Jadi, itu satu sejarah bagi Harimau Malaya.

"Cabarannya adalah sebab jadual 'gila', jadi kami terpaksa jalankan penggambaran dalam bulan Disember, ketika musim tengkujuh. Penggambaran pula semua berlangsung di padang dan jejak sahaja padang, hujan turun. Itu antara cabarannya.

"Selain itu, kami bekerja dengan ramai pelakon kerana filem ini ada empat cerita. Karakter banyak. Jadi, nak 'layan' jadual mereka pun mencabar juga sepanjang penggambaran selama 45 hari itu. Kemudian, ada tambahan hari lagi untuk penggambaran di London.

"Pada saya, cabaran lain juga adalah cuaca dan skrip. Kalau kami ada masa yang lebih panjang, kita boleh potong skrip awal-awal. Jadi, kami tak ada masa nak potong skrip. Kami kena filemkan dahulu, kemudian baru sunting," katanya.

Menariknya, filem Harimau Malaya ini menggunakan skrin biru (blue screen) terbesar pernah digunakan dalam sejarah perfileman negara bagi 'mewujudkan' Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menggunakan CGI.

"Skrin biru yang kami buat adalah yang terbesar yang pernah saya nampak di Malaysia. Sebabnya, kami kena CGI-kan satu padang. Penggambaran di Stadium Cheras, sebab tak boleh buat di SNBJ sebab masalah padang.

Tapi, latarnya kami akan masukkan SNBJ. Pasukan saya dah buat model 3D SNBJ supaya dari mana-mana sudut, akan nampak seperti di SNBJ. CGI saya rasa kami gunakan dalam 30 peratus," katanya.

Dekat dengan hatinya secara peribadi, Afdlin melihat sendiri perkembangan positif terhadap sukan bola sepak tanah air.

"Saya suka sebenarnya mengarahkan karya bertemakan sukan sebegini. Macam dahulu, saya buat filem Sumolah yang mana mengangkat sukan sumo. Tapi, filem Harimau Malaya ini lebih dekat dengan saya sebab saya memang suka bola sepak.

"Cuma, secara jujurnya sebelum ini ramai rakyat Malaysia pun tak berapa mengikuti perkembangan sukan bola sepak tanah air sebab kedudukan kita terlalu corot di persada dunia.

"Tapi, apabila pasukan kita mula menang, kita dah nampak orang dah mula layan. Stadium dah mula penuh, ramai dah mula percaya kita bukan sekadar pasukan belasahan.

"Itu membuat kita rasa pasukan Harimau Malaya ini patut terus disokong. Kalau ada kemungkinan mereka dapat masuk Piala Dunia, itu lagi menarik," katanya.

Filem Harimau Malaya membariskan pelakon seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Selepas ini, Afdlin akan menggalas satu lagi tanggungjawab untuk mengarahkan filem mengisahkan mengenai sukan sama, namun antara Malaysia dan Indonesia.

"Kami akan ke Indonesia untuk berbual dengan persatuan di sana. Malaysia dan Indonesia adalah 'love-hate relationship' dan kita ada saingan yang sangat kuat.

"Ada satu ketika, berlaku pergaduhan besar antara peminat bola sepak Malaysia dengan Indonesia sehinggakan pasukan kita nak bermain di sana pun terpaksa naik 'Black Maria'.

"Kami akan buat filem berkisar mengenai peristiwa itu, diberi judul Harimau Garuda. Jadi, filem ini adalah mengenai bagaimana ada pihak yang membakar sehingga mewujudkan pertelingkahan.

"Padahal pemain semua tak ada sebarang isu. Cerita ini bagus kerana ia membayang

kan juga politik di mana pemain bola tak ada masalah, tapi dipolitikkan orang sekeliling.

"Seperti Harimau Malaya, bola sepak ini adalah latar yang membuat cerita itu bergerak ke depan. Tapi, pertaruhan utama adalah dramanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 6:15 AM