BELLA Astillah. FOTO Sadiq Sani
BELLA Astillah. FOTO Sadiq Sani
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 30, menyifatkan Aidilfitri diraikan dua anaknya, Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreana, 4, tetap gembira serta tidak terganggu dengan ketiadaan bapa mereka, Aliff Aziz.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkata, mereka juga tidak bertanya mengenai ketiadaaan Aliff kerana lebih rapat dengan Bella selama ini.

"Setakat ini, Ayden dan Ara meraikan hari raya dengan gembira dan tidak bertanya langsung mengenai Aliff. Tiada apa-apa masalah sebab mereka pun memang rapat dengan saya, datuk, nenek dan semua ahli keluarga.

"Saya juga 'distract' (alihkan perhatian) mereka dengan main bunga api, ajak kawan-kawan mereka datang ke rumah dan beri duit raya. Jadi, mereka sangat terhibur," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai pertemuan Aliff dan anak-anak, Bella berkata, buat masa ini belum ada kesempatan lagi untuk maraikan Aidilfitri bersama-sama kerana sudah lama tidak berhubung.

"Ara dan Ayden tidak berkesempatan lagi berhari raya dengan bapa mereka kerana tiada perancangan untuk mempertemukan mereka sebab saya pun dah tidak berhubung langsung dengan Aliff.

"Malah, saya sendiri pun tak pasti sama ada Aliff ada berhubung dengan keluarga saya atau tidak. Lepas ke mahkamah hari itu, saya memang tak jumpa dan berhubung langsung dengan dia," katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya, Bella berkata, sekarang jadualnya sangat padat dan akan berangkat ke China dalam waktu terdekat ini untuk persembahan nyanyian bagi jenama kereta terkenal.

"Alhamdulillah, rezeki anak-anak dan saya sangat bersyukur. Apatah lagi, sekarang saya memang nak fokuskan pada urusan kerja dan tidak mahu terlalu komen mengenai isu rumah tangga yang belum selesai," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Aliff yang memuatnaik sebuah video merakamkan dirinya sambil tersenyum dengan meletakkan lirik lagu menggambarkan dia kini mampu bernafas lega sejak seseorang itu tiada, Bella enggan mengulas.

"No komen. Tak apalah mungkin dia suka dengan lagu itu, tapi saya tak pernah pun dengar dia menyanyi lagu berkenaan selama ini.

"Apapun, lagu yang saya muatnaik di TikTok juga bukanlah lagu balas. Sebaliknya, ia adalah untuk 'review" produk. Tapi, saya minta maaf pada semua kalau ada yang terasa dengan tindakan saya itu," katanya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Bella dan Aliff sampai ke kemuncaknya selepas pelakon dari Singapura itu didakwa berkhalwat dengan pelakon, Ruhainies pada 9 Mac lalu.

Bella kemudian memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, namun pada 4 April lalu, Aliff enggan melafazkan talak pada sebutan kes cerai berkenaan walaupun pada awalnya difahamkan bersetuju.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh 4 Jun depan bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) untuk kes perceraian pasangan pelakon sensasi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:40 PM