Georgie Joseph


MENEMPUH fasa menjadi ibu bapa memberikan 1,001 kemanisan buat pempengaruh dan penyanyi, Ryan Bakery serta isteri, Eylia Ibrahim. Bukan mudah, tapi proses itu dinikmati sebaiknya.

Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, berkata, setiap hari ada saja dipelajari apabila bergelar bapa. Dia pun bersyukur apabila mendapat tunjuk ajar daripada ahli keluarga lebih tua dan berpengalaman.

Baginya, dia berusaha menikmati alam menjadi ibu bapa kerana enggan terlepas melihat anak, Ryan Ezra membesar depan mata. Lama-kelamaan, dia juga semakin cekap uruskannya sendiri.

"Mencabar juga kerana kami pertama kali menjadi ibu bapa. Kami masih dalam proses pembelajaran. Anak meragam kita tak tahu dia sakit perut atau lapar. Semuanya kami belajar terutama dari mak mentua.

"Ada satu masa dia demam selepas mendapat suntikan kedua. Tak tidur kami nak pantau dia kerana asyik menangis. Baru saya tahu alam jadi bapa ini mencabar.

"Tapi, itu nanti tak sedar anak pun cepat membesar. Ini pengalaman saya dan isteri dapat bersama. Mula-mula saja belajar dengan ibu bapa, sekarang kami berdua uruskan sendiri," katanya.

Dengan kesibukan kerja mencipta kandungan, Ryan biasanya ambil alih tugas menjaga pada waktu malam. Kalau terlalu sibuk dan perlu tinggalkan rumah, Ryan hantar isterinya balik kampung.

RYAN dan Eylia mahu nikmati anak membesar depan mata.
RYAN dan Eylia mahu nikmati anak membesar depan mata.

Menurutnya, dia sangat risau sekiranya Eylia kena tinggal di rumah sendiri. Apabila berjauhan, dia akui terasa sangat ketiadaan isteri dan rindu terhadap anak membuak-buak.

"Sebab siang saya sibuk dengan penggambaran 'content'.

Bergilir-gilirlah kami. Kalau saya sibuk kerja, saya hantar mereka balik ke Melaka di rumah keluarga isteri.

"Nak biar dia sendirian di rumah saya tak berani lagi. Dia pun cepat panik kalau anak meraung. Dia duduk dua minggu di sana. Sekali gus memudahkan kerja saya dan hati pun tenang.

"Tapi, itu saya yang terpaksa menanggung rindu dekat anak. Mampu tengok dari panggilan video saja," katanya.

Dalam pada itu, Ryan juga menolak untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah. Dia trauma dengan banyak berita membabitkan pembantu rumah melarikan diri dan kes lain yang sangat menakutkan.

Justeru, mereka mengambil pendekatan lebih selamat dengan mendapatkan pertolongan ahli keluarga terdekat. Ada masanya mereka terpaksa tinggalkan anak juga kerana tuntutan kerja membabitkan mereka berdua.

"Risau saya ada pembantu rumah. Kena pula kalau saya kerja dengan dia dan keluar, takkan tinggal pembantu bersama anak? Kan banyak kes pembantu melarikan diri.

"Nanti kalau dia lari bawa anak kami sekali? Kerisauan itu adalah, saya agak takut. Kalau sekarang saya keluar dengan isteri untuk kerja, keluarga jaga. Seperti adik-beradik isteri yang pandai urus bayi," katanya.

Ryan dan Elyia mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022. Pada Januari lalu, Ryan berkongsi isterinya selamat bersalin bayi lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:31 AM