Ryan Bakery. FOTO Hazreen Mohamad
Ryan Bakery. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pencipta kandungan Ryan Bakery, 28, tidak berniat menyaingi mana-mana penyanyi apabila tampil melancarkan lagu Raya Last Minit bersama Andi Bernadee baru-baru ini.

Mengakui dirinya kaki karaoke, Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery cuma berhajat mewarnai industri serta tonjol sisi berbeza buat pengikutnya.

"Cuma apa yang saya buat ini satu kelainanlah. Selalunya pengikut dan orang tengok saya buat 'content', kali ini dengar saya nyanyi serta tonton MV (muzik video) lagu raya.

"Saya ini bukanlah penyanyi tapi untuk mewarnai industri muzik tanah air, itu saja. Tapi kalau orang fikir saya nak caras (perbuatan merampas) orang itu, caras orang ini, maaf itu bukan saya," katanya.

Bagi Ryan, dia cuma manfaatkan segala jenis platform yang ada sekarang demi mencari rezeki.

Menurutnya, jika kehadirannya kurang disenangi dalam industri, dia akur tak boleh berbuat apa.

"Itu masalah hatilah. Sekarang zaman teknologi moden, banyak tempat kita boleh tunjuk bakat kita. Jadi, apa salah kalau kita gunakan. Bukannya kita guna untuk menjahanamkan," katanya.

Bahkan, dia turut rasai laluannya bukan mudah setiap masa meskipun kini namanya cukup berpengaruh. Sampai sekarang pun dia masih terima komen berbentuk kecaman.

"Tak juga bagi saya dan sebenarnya cabaran besar juga. Sejak buat 'content' lagi pun saya sudah dapat semua itu. Saya sudah lali pun. Sebab saya fikir, saya nak suap isteri, ibu bapa, malas ambil tahu hal-hal itu," katanya.

Lagu Raya Last Minit adalah ciptaan bersama Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, dan John Jeeves serta diterbitkan Warner Music Malaysia dengan kerjasama FYP Media.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 1:06 PM