Noor Nabila
Noor Nabila
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya belum temui pengganti baharu dan bahagia dengan kehidupan sekarang."

Demikian kata usahawan dan pempengaruh Noor Nabila mengenai dakwaan kembali mendirikan rumah tangga selepas memuat naik foto dirinya yang mengenakan busana ala pernikahan di akaun media sosial miliknya.

Nabila berkata, selepas melalui episod perceraian tahun lalu dia kini lebih selesa menjalani kehidupan solo dengan anak tunggalnya, Jebat Jayden.

"Masih terlalu awal untuk bercinta dan memiliki pasangan hidup semula. Itu bukan keutamaan saya lagi.

"Fokus saya sekarang hanya untuk Jayden yang sedang membesar dan bakal melangkah ke alam persekolahan tak lama lagi," katanya.

Menurut Nabila, foto yang dimuat naik itu adalah sewaktu dia menjalani penggambaran musim baharu program Next To Neelofa.

"Kalian sudah salah faham . Saya belum bernikah lagi.

"Kalau saya sudah jumpa jodoh baharu saya akan kongsikan. Doakan yang baik-baik untuk saya okey," katanya sambil ketawa.

Semalam Nabila berkongsi gambar di Instagram dengan kapsyen tanda hati sekali gus ramai beranggapan kakak kepada Neelofa itu kembali mendirikan rumah tangga.

Untuk rekod Nabila sebelum ini pernah bernikah dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada April 2017 namun berpisah pada 9 Julai 2020.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Jebat Jayden yang kini berusia 6 tahun.

Nabila kembali mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 19 Mac 2021 dan mereka sah bercerai September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 1:59 PM