Intan Najiwa. FOTO ROHANIS SHUKRI
Intan Najiwa. FOTO ROHANIS SHUKRI
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Intan Najuwa berkongsi mula aktif dalam sukan berkuda sejak mendirikan rumah tangga dan turut menerima haiwan berkenaan sebagai hadiah daripada suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman.

Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, sukan sunnah Rasulullah SAW bukan saja baik untuk kesihatan mental namun turut mengeratkan lagi hubungan dengan suaminya.

"Alhamdulillah saya aktif berkuda sejak berkahwin. Sebenarnya suami saya lebih aktif, kadang-kadang saya akan sertai sekali kalau rasa bosan.

"Tidaklah begitu aktif namun boleh dikatakan dalam seminggu dua tiga kali juga. Boleh keluarkan peluh dan menghargai hadiah kuda yang diberikan suami.

"Bermula sebagai hobi tetapi lama-kelamaan menjadi minat dan dapat luangkan masa bersama suami. Aktiviti ini juga bagus untuk kesihatan mental dan hubungan suami isteri termasuk merapatkan kami, bangun pagi, pergi sarapan kemudian lakukan sukan kuda ini bersama," katanya.

Sebelum ini, sekitar September tahun lalu, Intan pernah berkongsi kepada umum apabila menerima hadiah seekor kuda berwarna putih daripada Ahmad Azraf sempena ulang tahun kelahiran ke-26.

Intan yang popular menerusi drama rantaian Kekasih Paksa Rela mengakui tidak pandai menunggang kuda dan menganggap hadiah sebagai galakan untuk melakukan aktiviti luar.

"Sebenarnya selepas berkahwin baru saya belajar mengenai sukan kuda ini. Sebelum kahwin buat apa? Asyik bekerja. Kerja dan belajar sahaja rutin sebelum kahwin, macam robot.

"Selepas berkahwin, jadual hidup semakin longgar jadi, ada masa untuk lakukan aktiviti yang sihat. Sekarang saya sudah ada lima ekor kuda. Semua kuda itu ada pasport sendiri," kata Intan yang berkahwin pada 18 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:38 PM