Izz Laily Hussein


Kota Tinggi : "Sebelum ini pun, bukan sengaja saya nak rahsiakan atau beri kejutan, tetapi sebab saya ingat orang tua-tua kata hal merisik, hal bertunang diamkan dulu supaya tidak ada perkara tidak diingini berlaku di masa akan datang," kata pelakon, Datin Intan Najuwa, 26, yang melangsungkan pernikahan dengan Datuk Ahmad Azraf Azman, 39, di Desaru Coast, di sini, semalam.

Intan ketika ditemui berkata, dalam hubungan kali ini dia memilih untuk senyap selagi perkara itu belum berlaku.

"Alhamdulillah hari ini (semalam) dah sah suami isteri, kita beritahu semua," katanya berkongsi rasa lega dan bahagia selepas sah bergelar isteri.

Intan berkata, selepas mengenali Ahmad Azraf dia tidak mahu bercinta lama-lama. Perasaan sebak juga dirasainya kerana akhirnya dapat bertemu seorang lelaki yang betul-betul boleh menjaganya.

"Benda baik saya memang elok kita cepatkan. Alhamdlillah, lega dah. Rasa 'nervous' pun semua hilang.

"Sebenarnya, macam-macam saya lalui. Orang tidak nampak jatuh bangun saya. Sebab itu hari ini (semalam) saya sangat sebak bila akhirnya saya jumpa seorang lelaki yang betul-betul boleh jaga saya," katanya yang turut memberitahu hanya mengambil masa enam bulan bagi membuat persiapan majlis perkahwinannya.

Ditanya mengenai detik pertemuan bersama suaminya, Intan berkata, pertama kali mereka berjumpa adalah pada penghujung 2021.

Katanya, ketika itu dia sedang minum kopi bersama rakannya yang juga rakan kepada Asraf di sebuah kafe.

"Detik pertemuan kami tidaklah begitu istimewa pun. Kami jumpa kerana kawan-kawan juga sebab kawan baik Asraf adalah kawan saya juga.

"Kita berjumpa, bertegur sapa dan tak sangka pula sampai sekarang 'tersangkut'," katanya.

Menyentuh soal kerjayanya selepas berkahwin, pelakon telefilem Sempurna Mencintaimu itu berkata, dia akan terus aktif dalam bidang seni kerana suaminya tidak menghalang.

"Soal kerjaya, sebelum kahwin atau selepas kahwin sama saja. Asraf tidak pernah menghalang saya bekerja atau lakukan apa-apa. Dia seorang yang sangat memahami dan menyokong," katanya.

Setakat ini Intan dan suami belum merancang sebarang percutian bulan madu memandangkan sebaik selesai majlis perkahwinan, mereka akan mula bekerja.

Mereka juga tidak merancang mengenai anak, sebaliknya menerima saja takdir dan rezeki Allah.

"Kita tidak akan merancang, ada, ada, tiada, tidak mengapa. Ada rezeki, tidak kisah bila-bila, kami sentiasa sedia terima," katanya.

Sementara itu, Ahmad Azraf berkata, Intan seorang yang sangat manis dan bertanggungjawab lebih-lebih lagi dalam menjaga keluarga dan adik-beradiknya.

Intan pula memberitahu suaminya seorang yang sangat penyayang dan romantik, selain kelakar.

Pasangan sama cantik sama padan itu berharap perkahwinan yang dibina kekal hingga ke syurga dan berbahagia selalu.

Semalam, pasangan ini dinikahkan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut, tepat jam 6.45 petang dan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

Dalam majlis itu, Intan menerima mas kahwin berjumlah RM20,000 serta wang hantaran bernilai RM222,000.

Angka dua diambil sempena simbolik kepada tempoh perkenalan pasangan dua sejoli itu yang masuk tahun kedua.

Berita berkaitan:
Intan Najuwa kini isteri Datuk Azraf

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 1:11 PM
INTAN Najuwa (kanan) bersama Azraf Azman pada majlis pernikahan di Desaru Coast. FOTO Nur Aisyah Mazalan
INTAN Najuwa (kanan) bersama Azraf Azman pada majlis pernikahan di Desaru Coast. FOTO Nur Aisyah Mazalan