Liza Hanim tidak mahu mengalah hanya kerana cakap cakap orang. FOTO SALHANI IBRAHIM
Liza Hanim tidak mahu mengalah hanya kerana cakap cakap orang. FOTO SALHANI IBRAHIM
Ramlah Zainal


PENYANYI bervokal tinggi dan lunak, Liza Hanim tidak kecewa dengan dakwaan segelintir pihak menganggap single terbarunya Mimpi kurang menyerlah untuk mengembalikan semula namanya seperti zaman kegemilangannya dulu.

Menurut Naib Juara program realiti, Gegar Vaganza 4 (GV4) itu, single Mimpi baru dua bulan dilancarkan dan masih terlalu awal untuk menilai sambutan dari peminat.

“Sebagai penyanyi yang buat 'comeback' saya sedar mengenai perkara itu.

"Saya sudah buat perbincangan dengan pengurusan tiga hari lalu bagaimana strategi untuk mempromosikan single itu untuk memastikan ia diterima peminat," katanya.

Sebagai penyanyi berpengalaman, kata Liza, dia tidak akan mudah mengalah untuk terus berusaha mempromosikan single terbarunya itu.

"Saya perlu realistik dalam soal ini. Saya baru saja kembali buat 'comeback' dan perjalanannya juga tidak mudah.

"Saya tidak boleh kecewa atau mudah putus asa jika single baru itu dianggap kurang menyerlah oleh pihak tertentu.

"Saya juga percaya, single ini mampu pergi lebih jauh lagi nanti," katanya.

Liza berkata ketika ditemui pada majlis Sepetang Bersama Bonda Ratuku sempena sambutan Hari Ibu di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ditanya mengenai kekuatan lagu itu, kata Liza, dia sangat berpuas hati dengan hasil karya ciptaan komposer terkenal Hafiz Hamidun dan liriknya oleh Fedtri Yahya itu.

"Single ini menceritakan pasangan yang dilamun cinta menempuh fasa getir ketika berumah tangga.

"Secara peribadi, saya memang berpuas hati dan gembira dengan kualiti single Mimpi ini.

"Sebab itu, saya tidak akan lepaskan peluang untuk menyanyikan single Mimpi setiap kali memenuhi undangan persembahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 4:30 PM