Ali Sariah
Ali Sariah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Berbaki lima hari untuk beraksi di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 menerusi lagu Inilah Jalannya, vokalis kumpulan Masdo, Ali Sariah memaklumkan dia mengalami demam dan batuk sejak Sabtu lalu. 

Ali ketika dihubungi berkata, dia sudah menjangkakan hal itu dan berharap semuanya dipermudahkan.

"Jujur saya agak gementar sekarang ini sebab tinggal beberapa hari saja lagi.

"Saya sudah menjangkakan hal seperti ini walaupun sudah sedaya upaya  jaga kesihatan diri menjelang AJL38 tapi itulah kita hanya mampu merancang.

"Saya sudah mengalami demam dan batuk sebelum konsert jelajah di Manchester pada 25 Februari lalu.

"Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja. Saya pun sudah dapatkan rawatan dan makan ubat. Doakan saya segera sembuh," katanya.

Ditanya mengenai lagu Inilah Jalannya ciptaan Masdo dan Noh Salleh diramalkan sebagai juara AJL38, Ali menganggap segala yang dihajati sebagai doa.

"Kami anggap semua itu doa. Apa yang paling penting fokus kami pada malam itu dan cuba buat persembahan sehabis baik serta memeriahkan suasana," katanya.

Bertemakan Muzikaverse, malam kemuncak, AJL ke-38 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad ini menjanjikan persembahan terbaik dan paling ikonik dalam sejarah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 7:43 PM