TABBER dijangka turut memeriahkan konsert anjuran JioBuddy itu.
TABBER dijangka turut memeriahkan konsert anjuran JioBuddy itu.
Georgie Joseph


Selepas lebih empat tahun dinantikan peminat Malaysia, komposer dan penyanyi Korea Selatan, DEAN akhirnya bakal berkunjung kembali ke sini menjayakan konsert DEAN with Tabber Live in Malaysia.

Acara anjuran JioBuddy itu bakal berlangsung pada 10 Mac depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dengan turut menampilkan rakannya yang juga penyanyi rap, Tabber.

Tentu sekali khabar gembira itu paling ditunggu ramai khususnya peminat tegar dua figura antarabangsa itu di sini. DEAN adalah artis yang disanjung kerana karya-karyanya cukup hebat

Justeru, tindakannya 'menghilang' daripada radar industri hiburan sejak 2019 lalu banyak menimbulkan tanda tanya. Rata-rata peminat risau jika penyanyi itu mengambil keputusan tinggalkan dunia seni.

Mana tidaknya, pada tahun itu juga menjadi kali terakhir dia melancarkan lagu sebelum menyepi. Teka-teki itu terungkai apabila DEAN kembali dengan lagu barunya berjudul DIE 4 YOU pada November tahun lalu.

Kemudian disusuli dengan pengumuman DEAN bakal mengadakan siri jelajahnya tahun ini. Lebih manis lagi, dia memilih Malaysia sebagai tempat persinggahannya, sekali gus pasti mengubat rindu peminat.

Mula mencipta nama sekitar 2016, EP sulung DEAN berjudul 130 Mood: TRBL mendapat pujian melambung. Selain itu, dia turut memenangi trofi Komposer Terbaik di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2018.

Apa yang pasti, profil muziknya bukan terhad untuk diri sendiri. Bahkan, dia sudah bekerjasama dengan ramai artis ternama lain, baik sebagai komposer mahupun penampilan duet.

Mereka antaranya termasuk Taeyeon dari Girls' Generation, EXO, VIXX, Lee Hi, Loco, DPR live, IU, Nafla, Tabber, Mokyo, dan ramai lagi.

DEAN bakal ubati kerinduan peminat Malaysia pada Mac ini.
DEAN bakal ubati kerinduan peminat Malaysia pada Mac ini.

Pada 2017 lalu, nama DEAN meledak susulan pelancaran lagunya berjudul Instagram. Lagu itu mengungguli tangga teratas carta muzik di Korea Selatan dan tular merata-rata.

Menerusi pertaruhannya untuk DIE 4 YOU pula, lagu berkenaan difahamkan pantas menduduki carta nombor satu di platform penstriman muzik berbeza. Ia termasuk di New Zealand dan Singapura, selain di negaranya sendiri.

Untuk rekod, DEAN sudah beberapa kali bertandang ke Malaysia dan sentiasa dinantikan peminatnya. Kali terakhir dia ke sini sewaktu terbabit dalam acara Festival Good Vibes pada 2019.

Turut menampilkan Tabber kali ini, pastinya acara konsertnya itu lebih meriah. Ini kerana Tabber menjadi artis naungan label DEAN iaitu you.will.knovv pada 2020 lalu.

Tabber yang pernah bertanding dalam rancangan Show Me The Money 10 pada 2021, sebelum ini melancarkan lagu 007 menampilkan Syd dan want YOU.

Disusuli EP berjudul Madness Always Turns to Sadness.

Tiket konsertnya dinamakan Tabber.Live [Madness Always Turns to Sadness] di Seoul yang berlangsung pada November tahun lalu juga laris apabila habis terjual dalam tempoh 30 saat saja.

Sehubungan itu, difahamkan istimewa bagi pembeli tiket kategori VIP ROCK ZONE akan berpeluang bergambar dengan DEAN dan Tabber pada acara konsert itu nanti. Mulai 26 Januari ini, tiket boleh dibeli menerusi laman web www.jiotix.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 6:09 AM