AQASHA azam jaga kredibiliti dalam karier untuk banggakan dua zuriat bagi setiap penglibatan seni lakonan & nyanyian.
AQASHA azam jaga kredibiliti dalam karier untuk banggakan dua zuriat bagi setiap penglibatan seni lakonan & nyanyian.
Ridzuan Abdul Rahman

AQASHA Rosli, 42, kini lebih memilih tawaran berlakon kerana mahu menjaga kredibiliti dalam karier serta mahu membanggakan dua anaknya.

Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli berkata, memandangkan mereka semakin meningkat remaja, dia turut malu dan segan dengan anak-anaknya jika melakonkan watak yang tidak kena dengan usianya.

"Harapan saya apabila saya menerima skrip, saya mendapat watak yang boleh membanggakan anak apabila mereka menonton lakonan saya.

"Anak-anak pun sudah besar, mereka sudah faham apa yang mereka tonton jadi malulah kalau saya bawa watak-watak seperti dulu," katanya kepada Harian Metro.

Aqasha berkahwin dengan pasangannya, Noor Baizura Mohd Sabri pada 2010 dan dikurniakan dua anak, Alehandra Ahmad, 13, dan Alaena Ayesha, 12.

"Saya bukan menghilangkan diri dari dunia seni atau mengelak publisiti dari media, sebaliknya memilih cara ini kerana berpegang kepada apa yang saya katakan tadi.

"Dulu

waktu muda pelbagai bentuk lakonan dan persembahan saya ingin cuba kerana mahu mencari tapak, membentuk identiti dan membina nama di mata masyarakat.

"Sekarang apabila lebih berusia dan berkeluarga, saya ada misi dan sasaran lengkap untuk saya jalankan dalam setiap projek yang akan datang.

"Saya harap setiap projek dan kerja seni yang saya lakukan memberi manfaat kepada orang ramai terutama golongan muda," katanya.

Aqasha yang juga pelakon filem Embun dan penyanyi runut bunyi filem itu berkata, dia kini terbabit dengan penggambaran karya berjudul Nafsu untuk siaran laman penstriman Viu.

"Lakonan dan nyanyian sebenarnya berjalan seiring. Saya baru saja terbabit dengan projek Lagu Dari Seluloid terbitan Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade yang kini disiarkan di YouTube.

"Jujurnya saya tidak pernah hilang daripada dunia seni. Mungkin orang sangka saya tidak aktif kerana saya tidak keluarkan lagu setiap tahun atau setiap enam bulan seperti penyanyi lain.

"Pengkarya seperti saya, jika ada rumput yang panjang tidak akan timbul-timbul. Alhamdulillah dalam kalangan rakan industri saya masih tidak tertinggal dan ditinggalkan," katanya.

Lagu Dari Seluloid adalah projek pengarkiban dan pendigitalan 10 lagu dari filem 1950-an sehingga 1959 bagi memelihara dan memulihara lagu-lagu ini dari dilupakan.

Aqasha mendendangkan semula lagu Ibu dari filem Ibu serta lagu Wanita dan Teruna (filem Iman) duet bersama Asmidar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 6:20 AM