TIGA artis yang terbabit dalam persembahan berkenaan.
TIGA artis yang terbabit dalam persembahan berkenaan.
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK keterlaluan dikatakan lagu dari filem era 1950-an kini sudah menjadi sebuah irama klasik yang semakin jarang didengari masyarakat umum, apatah lagi generasi muda.

Namun irama sebegini masih mempunyai peminat tersendiri yang bukan sedikit jumlahnya di negara kita.

Menyedari perkara ini, syarikat Big Sound Event di bawah pengurusan Ashraff Goodman mengambil inisiatif mengembangkan gubahan muzik irama klasik dari filem 1950 hingga 1959 dan membawakannya dalam bentuk fusion jazz.

Persembahan yang diberi nama Fusion Alun Layar berlangsung pada Sabtu, 7 Oktober ini, jam 8.30 malam di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Jurucakap Ashraff Goodman berkata, Fusion Alun Layar menggandingkan penyanyi dan pelakon Aqasha dan Asmidar Ahmad serta penampilan istimewa Datuk Fauziah Nawi yang bertindak sebagai pencerita.

"Gubahan muzik yang menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam genre fusion jazz ini mendapat sentuhan Prof Madya Khairil Anwar Dean yang bertindak sebagai pengarah muzik.

"Lagu dari filem Aloha dan Insaf (arahan B S Rajhans), Juwita dan Sedarah (arahan S Ramanathan), Hujan Panas (arahan B N Rao), Ribut (arahan K M Basker) dan banyak lagi, kini diberikan nafas baharu, adalah salah satu penghargaan kepada komposer pada zaman itu dan lagu mereka itu sudah menjadi warisan untuk negara.

"Bukan kami hendak menidakkan kehebatan muzik pengkarya seperti Osman Ahmad, Zubir Said atau Ahmad Jaafar, cuma kami ingin membuktikan bahawa melodi indah mereka sebenarnya sangat versatil dan tidak lekang dek zaman. Ia pasti akan menjadi sebuah apresiasi dan inspirasi kepada generasi muda," katanya.

Sementara itu, Asmidar berkata, dia berbesar hati kerana dipilih membuat persembahan untuk konsert ini.

"Pertama kali dapat bergandingan dengan Aqasha, saya rasa sangat teruja sebab saya meminati suaranya. Selain itu, dapat sepentas dengan ibu Fauziah bukan satu peluang yang sering saya dapat, jadi perasaan teruja saya berganda.

"Manakala lagu dalam konsert ini sangat unik kerana mengetengahkan lagu filem klasik dan diberi nafas baharu. Saya percaya peminat filem lama dapat melepaskan rindu menerusi persembahan ini," katanya.

Bagi Fauziah pula, Fusion Alun Layar menjadikannya tidak sabar untuk mendengar kembali lagu dari filem yang lalu.

"Lagu-lagunya sentiasa segar di ingatan saya. Ia menggamit kenangan. Liriknya indah dengan bahasanya puitis. Manakala muziknya jujur," katanya.

Aqasha pula berkata, Fusion Alun Layar adalah antara program asal yang mempunyai format yang tersendiri.

"Selain lagu filem klasik yang diberi nafas baharu oleh pemuzik tempatan yang berpengalaman di Malaysia, ia dapat menjentik minat anak-anak muda untuk menghargai karya dari suatu waktu yang di luar zaman mereka.

"Fusion Alun Layar juga boleh menjadi satu medium persembahan muzik dan seni visual yang menemukan jiwa baharu dan lama, sekali gus melestari karya seni tempatan yang mungkin akan terbiar tanpa diberi perhatian," katanya.

Persembahan Fusion Alun Layar mendapat kerjasama Aswara dan disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 6:20 AM