BABAK mendebarkan dalam Jiwa 8 Belas.
BABAK mendebarkan dalam Jiwa 8 Belas.
Ramlah Zainal


"Saya tak mahu peminat kenal kerana pelbagai cerita kontroversi dan bukannya bakat lakonan," kata pelakon jelita, Sophia Albarakbah.

Kata Sophia, 30, dia bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus dalam bidang seni.

"Kini, bukannya masa untuk saya menoleh ke belakang lagi. Saya mahu fokus untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

"Saya bersyukur agenda seni padat dan dimurahkan rezeki. "Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda kerana saya tidak mahu kisah silam diungkit lagi," kata pelakon filem Jiwa 8 Belas.

Sophia membawakan watak Fatien. Tambahnya, ia adalah antara filem pertama lakonannya ketika mula bertapak dalam bidang lakonan.

SOPHIA bergandingan dengan pelakon berbakat.
SOPHIA bergandingan dengan pelakon berbakat.

"Saya dapat tawaran berlakon dalam filem Jiwa 8 Belas ini menerusi proses uji bakat pada penghujung 2018.

"Saya tiada asas dalam bidang lakonan dan lakonan memang agak 'kayu' ketika itu," katanya.

Sophia yang memenangi gelaran Aktres Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 tahun lalu tidak sabar menantikan respon peminat ketika penampilannya di layar perak.

"Sebelum ini peminat banyak melihat penampilan saya menerusi drama dalam televisyen namun pada tahun ini insya Allah beberapa naskhah lagi bakal muncul.

"Saya percaya jadual seni pada tahun ini agak padat dengan pelbagai program. Alhamdulillah," katanya.

Selain Sophia filem Jiwa 8 Belas arahan S Baldev Singh turut dibintangi pelakon terkenal tanah air antaranya A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Shah Hazvee, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 6:13 AM