Pelakon Nadhir Nasar. Foto Asyraf Hamzah
Pelakon Nadhir Nasar. Foto Asyraf Hamzah
Lydia Saiful


Putrajaya: Pelakon yang semakin meningkat naik, Nadhir Nasar, 28, menghormati pandangan peminat sekiranya dirinya dianggap bakal membayangi teraju utama Pendekar Awang lakonan Fattah Amin.

Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, dia tak ambil kisah jika penonton beranggapan sedemikian.

Bagi pelakon yang mencetus fenomena menerusi drama bersiri Project High Council itu antara dirinya dan Fattah masing-masing sudah berbincang untuk melaksanakan tugas sehabis baik bagi naskhah itu.

"Saya tidak boleh kawal pendapat penonton tapi saya percaya semua pelakon melakukan sebaik mungkin terutama sekali supaya tidak kelihatan kekok menggunakan senjata ketika melakukan filem aksi.

"Apa yang saya boleh simpulkan, setiap kumpulan memerlukan hero dan setiap hero memerlukan kumpulan.

"Saya dan Fattah memerlukan satu sama lain dalam satu 'frame' bagi menambah dan memperkasakan lagi babak dalam cerita ini," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, di sini, semalam.

Menurut Nadhir, melihat kepada kejayaan filem Mat Kilau sebelum ini, dia berasa sangat teruja apabila diberikan tanggungjawab besar oleh produksi Studio Kembara untuk menjayakan filem itu.

"Studio Kembara sudah menawarkan saya berlakon dalam filem ini kira-kira September tahun 2022 sebelum keluarnya Project High Council.

"Sebelum terima tawaran ini, ada filem lain juga menawarkan saya untuk berlakon tapi mungkin masa itu saya belum bersedia dan bagi saya perlu tingkatkan lagi bakat lakonan sebelum muncul di layar perak.

"Saya kagum dengan kejayaan Studio Kembara dalam Mat Kilau melalui kutipan tiket dan filem ini ada nilai-nilai yang kuatkan rasa cinta pada agama, bangsa dan negara. Jadi, sebagai pelakon, saya menerima tawaran ini kerana ia membawa nilai-nilai bagus kepada generasi muda," ujar Nadhir.

Selain Nadhir filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menemui penonton di pawagam pada 11 Januari ini turut dibintangi pelakon hebat tanah air seperti Nur Fazura, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nam Ron, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 6:32 PM