Beto Kusyairy
Beto Kusyairy
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya tiada hak untuk beri komen mengenai perkara ini." Demikian kata pelakon Beto Kusyairy apabila filem sekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Pendekar Awang: Darah Indera Gajah didakwa kurang mendapat sambutan susulan tiada membabitkan barisan pelakon Mat Kilau termasuk dirinya.

Beto berkata, dia bukanlah individu tepat untuk memberi kenyataan mengenai hal itu.

"Sebagai pelakon saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka, tiada istilah iri hati atau sebaliknya.

"Sebenarnya itu bukan hak saya beri kenyataan. Kalau orang nak bandingkan dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, kedua-duanya daripada pengarah dan produksi berbeza," katanya.

Ditanya mengenai filem arahan Sharuddin Dali dan Saiful Reza Shukor itu, Beto mengaku belum berpeluang menonton filem terbabit kerana kekangan kerja.

"Jujurnya agak ralat dan terkilan kerana belum berkesempatan untuk menonton filem ini.

"Masa juga tak mengizinkan kerana saya sibuk dengan komitmen kerja.

"Apapun, saya tetap mendoakan yang terbaik untuk filem itu," katanya.

Filem yang menemui penonton sejak 11 Januari lalu itu dilaporkan berjaya mengutip RM2.4 juta dalam tempoh 56 jam selepas tayangan.

Filem itu dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf dan Heliza Helmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 12:03 PM