Ariz Lufias
Ariz Lufias

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Forteen kini bergelar usahawan produk makanan, Ariz Lufias meminta pengikutnya di platform media sosial TikTok tidak menanda atau 'tag' namanya di platform peniaga lain yang menjual produk sama sepertinya.

Menurut Ariz atau nama sebenarnya Saiful Ridzuan Abdul Hamid, tindakan itu boleh memudaratkan dirinya sebagai peniaga yang hanya ingin mencari rezeki dan membawa rasa ketidakpuasan hati kepada peniaga lain.

"Baru beberapa hari meniaga kek tapak kuda, dah mula ada kejadian yang kurang manis berlaku. Saya yakin, niat kalian baik. Tapi, perkara itu boleh mendatangkan mudarat kepada saya.

"Dah jadi beberapa kali dan saya kurang senang dengan perkara itu. Saya mohon jangan 'tag' nama saya dekat peniaga lain yang jual produk sama," tulisnya.

Menurutnya, tindakan sebegitu membawa aura negatif buatnya sebagai peniaga.

"Perkara itu boleh mendatangkan 'bad vibes' kepada saya. Sememangnya, saya hanya menumpang rezeki dari 'hype' produk ini.

"Insya-Allah, boleh promosikan produk saya tanpa menjatuhkan orang lain. Jagalah hati sesama kita," tulisnya.

Ariz juga meminta maaf sekiranya teguran itu membuatkan ada pengikutnya di platform media sosial itu berkecil hati.

"Saya nak meniaga dengan aman dan santai. Minta maaf kalau ada yang terkecil hati dengan hantaran ini. Terima kasih kepada sesiapa yang sudah menyokong saya. Semoga dimurahkan rezeki selalu," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 1:16 PM