PU Riz dan Neelofa selamat dinikahkan pada jam 11.43 pagi tadi. FOTO NAJIY JEFRI
PU Riz dan Neelofa selamat dinikahkan pada jam 11.43 pagi tadi. FOTO NAJIY JEFRI
 Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Usahawan dan selebriti popular, Neelofa tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menimang cahaya mata sebaliknya bersedia jika diberikan rezeki dalam waktu terdekat.

Neelofa, 32, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, yang selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

"Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Allah SWT.

"Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka.

"Apapun harapan saya, semoga Allah SWT sentiasa memberikan rahmat kepada keluarga kecil yang baharu sahaja kami bina, dan semoga setiap rahmat itu dapat memupuk hubungan kami sebagai pasangan suami isteri. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya dan suami," katanya.

Menurut Neelofa, selain banyak membaca dan bertanya soalan kepada ibu bagi mempersiapkan diri memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri, dia turut menghadiri kelas agama.

"Selain banyak membaca, saya juga kerap bertanya dengan ibu dan rakan terdekat. Banyak nasihat yang diberikan dan insya-Allah, saya akan jadikan nasihat tersebut sebagai panduan. 

"Dalam masa sama, saya juga berkesempatan menghadiri kelas khusus yang memfokuskan kepada persediaan memasuki alam rumah tangga," katanya.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia tidak bercadang untuk berehat sementara waktu daripada aktiviti seni dan perniagaan yang diusahakan.

"Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berehat sementara kerana banyak hal bisnes yang perlukan pemantauan saya selepas majlis berlangsung. 

"Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan. Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga," katanya.

Terdahulu pasangan selamat bernikah tepat jam 11.43 pagi oleh adik kandungnya, Mohd Aqief Mohd Noor manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan khutbah dan tazkirah. 

Neelofa menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin daripada Haris manakala hantaran hanya yang wajib. 

Berita berkaitan

Neelofa, PU Riz kini suami isteri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 12:11 PM