LIZA sentiasa hargai kesungguhan peminat setia.
LIZA sentiasa hargai kesungguhan peminat setia.
Syafil Syazwan Jefri

MENYULAM nama dan karya sepanjang tempoh 27 tahun dalam industri seni tanah air bukan sesuatu yang mudah.

Tentunya sepanjang terbentangnya jalan panjang itu, ada pelbagai onak dan duri yang perlu dilalui.

Itu yang dirasakan penyanyi, Liza Hanim yang juga finalis program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung, baru-baru ini.

Walaupun gagal menyandang gelaran juara, Liza yang cukup dikenali sebagai penyanyi dengan 'power vocal' bertakhta di hati ramai peminatnya yang tidak pernah henti mengalirkan sokongan buatnya.

Berkesempatan bertemu dengan pelantun lagu Gelisah Mimpi ini, Liza berkongsi rasa penghargaan buat peminat dan penyokong yang sentiasa menjadi penguat buatnya bagi meneruskan langkah seni.

"Memang ada detik dalam karier saya, di mana saya berasakan seperti sudah tiba masa untuk saya berhenti menyanyi. Tapi, ada sekumpulan peminat yang masih mempercayai bakat saya dan yakin saya masih mampu menyanyi.

"Mereka yang membuatkan saya teruskan menyanyi. Begitu juga dengan pasukan saya dan saya harapkan sokongan anda semua juga (media).

"Memang ada ketikanya saya berasakan begitu (berputus asa). Perasaan itu datang dan pergi. Tapi, saya kena lawan dan kalau bercakap mengenai ASGV, sasaran saya adalah untuk sampai ke pentas akhir," katanya.

Bakal mengadakan konsert pada Februari tahun depan, Liza ingin menuangkan segala memori indah dan pedih sepanjang perjalanan 27 tahun sebagai anak seni, sekali gus dikongsi dengan peminat.

"Perjalanan karier saya yang ada naik dan turun ini ingin saya kongsikan dalam konsert pertama saya nanti pada Februari tahun depan. Orang lain, lapan tahun, 10 tahun, dah ada yang adakan konsert berkali-kali. Saya pula tak pernah ada peluang itu.

"Kadangkala yang membuatkan peluang itu tidak hadir adalah sebab saya sendiri meragui kemampuan saya dan antara persoalan yang bermain di fikiran, 'Adakah saya layak atau tidak?'.

"Sebabnya sokongan yang saya terima bercampur baur. Ada yang suka dan ada yang tidak. Jadi, itu membuatkan saya rasa ragu sekiranya ingin mengadakan konsert.

"Tapi, kerana sekumpulan penyokong dan penggemar yang tidak pernah berhenti inilah membuatkan saya ingin teruskan. Saya bersyukur dan nak raikan segala perasaan serta detik bahagia itu di acara konsert saya nanti.

"Ada banyak perkara yang saya nak kongsikan sepanjang 27 tahun perjalanan karier saya berlangsung," katanya.

Terbaharu, Liza bakal beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 membawakan lagu Sejuta Maaf ciptaan komposer Sirkhan dan Rinkarnaen, manakala liriknya ditulis oleh Sirkhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 6:25 AM