Datin Maria Arshad
Datin Maria Arshad

Kuala Lumpur: "Maria Arshad dah senyum 'guys'. Yang penting doa semua orang. Alhamdulillah terima kasih yang tak terhingga," kongsi pengacara Shiera mengenai perkembangan terkini pelakon era 80-an, Datin Maria Arshad.

Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 48, memohon agar semua mendoakan Maria yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta di sini kerana masalah kekurangan garam, semalam.

"Kami perlukan doa anda semua. Terima kasih semua yang mendoakan. Amin. Teruskan berdoa dan saya dan keluarga doakan semua rakyat Malaysia sentiasa dilindungi Allah jua, Amin," katanya.

Shiera memaklumkan ibu mentuanya itu mengadu sakit urat dan tidak boleh mengangkat tangannya yang lemah pada Isnin lalu.

Selain sakit urat dan sakit belakang, berat badan Maria, 65, juga pelakon popular era 1980-an, memang turun mendadak sebanyak 48 kilogram selepas dijangkiti virus Covid-19 sebelum ini.

Namun, selepas dibawa melakukan pemeriksaan di pusat perubatan swasta, doktor memaklumkan dia tiada sebarang penyakit kronik dan hanya kurang garam dalam badan sahaja.

Shiera juga berkongsi selain berjumpa doktor, mereka ada membawa Maria berjumpa ustaz untuk berubat secara tradisional.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas dakwaan sama ada ibu mentuanya itu menghidap sakit misteri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:40 PM