HIBURKAN penonton dengan 20 lagu. - FOTO Khalil Makata
HIBURKAN penonton dengan 20 lagu. - FOTO Khalil Makata
Ramlah Zainal


Setiap kali mengadakan konsert, Datuk M Nasir pasti mahu menampilkan kelainan untuk kepuasan penggemar muziknya.

Sempena konsert kali ini, penghibur bergelar sifu ini memilih untuk menampilkan persembahan unik dan memperkasakan alat muzik gendang sebagai instrumen utama persembahannya.

Apatah lagi, konsert berjudul Gendang Pati yang berlangsung di Singapura pada Julai lalu turut mendapat sambutan positif dari peminatnya di Singapura.

Bagai dijangka Konsert Gendang Pati, M Nasir Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur juga berjaya menarik seramai lebih 2,800 penonton, baru-baru ini.

Ternyata, pada usia 66 tahun dan bersandarkan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang muzik, M Nasir tetap menampilkan persembahan bertenaga dan menghiburkan sepanjang tiga jam konsert berkenaan.

Sebagai penghibur bertaraf legenda, M Nasir juga bijak berkomunikasi dengan penonton dan sangat menghargai sokongan peminatnya.

"Terima kasih kerana datang ke konsert ini dan bantu menjana ekonomi Melayu. Ada masa kita gembira, ada masa kita merenung dan memang malam ini, kita buat untuk bergembira. Jangan berasa terasing kerana saya akan membawa anda ke Pulau Kencana," katanya.

Di sebalik wajah dan perwatakan serius, M Nasir sebenarnya seorang yang lucu dan suka bergurau dengan penonton.

Ia terbukti bila beliau sempat bergurau dengan peminat mengenai konsert penyanyi Aina Abdul yang bertembung dengan konsertnya pada malam berkenaan.

"Apa khabar semua? Tidak menyesal tak pergi ke konsert Aina Abdul? Saya pun 'prepare' (siapkan) pakaian," katanya dengan disambut tepukan daripada penonton.

Tirai konsert dimulakan dengan kemunculan M Nasir di pentas pada jam 8.30 malam dengan mendendangkan lagu Phoenix Bangkit.

TURUT sampaikan lagu untuk Palestin. - FOTO Khalil Makata
TURUT sampaikan lagu untuk Palestin. - FOTO Khalil Makata

Antara 'repertoire' lagu disampaikan ialah Semakin Nyata, Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Bila Rumi Menari dan Tanya Sama Hud Hud.

Konsert diteruskan dengan lagu Dah Lagu Tu!, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Raikan Cinta, Hijab Kekasih serta medley Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa.

Penonton turut terhibur dengan penampilan pemain pandero iaitu alat muzik dari Brazil dan pemain perkusi ketika menyampaikan lagu dialek Kelantan, Langgam Pak Dogo.

Konsert dihangatkan lagi dengan rangkaian lagu ciptaannya yang dinyanyikan penyanyi lain seperti Gadisku, Pawana, Fantasia Bulan Madu (Search), Setahun Sudah Berlalu (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris) dan Hukum Karma (Wings).

Turut mencuri tumpuan ramai ialah persembahan kumpulan koir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices yang menyampaikan lagu Bagaikan Sakti versi acapella.

Kumpulan ini pernah mencipta kejayaan di luar negara dan mewakili negara dalam pertandingan di Korea Selatan, baru-baru ini.

Sementara itu, M Nasir juga tidak melupakan penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza dengan mendedikasikan lagu berjudul Masirah pada penghujung konsertnya.

Tidak ketinggalan, doa qunut Nazilah dan bacaan puisi sebagai tanda solidariti dan dedikasi buat rakyat Palestin sekali gus menutup konsert pada malam itu.

Antara rakan artis yang hadir pada konsert itu adalah Hetty Koes Endang, Datuk Hattan, Erma Fatima, Misha Omar, Jep Sepahtu dan Nana Mahazan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 6:50 AM